DETROIT, 5 Feb – Anda mungkin tidak mahu untuk membuka tingkap belakang jika anda memandu sebuah kereta Nissan Altima.
Syarikat Nissan menarik balik hampir 363,000 kereta itu di seluruh dunia bagi model yang dikeluarkan dari tahun 2015 hingga 2017 kerana pintu belakangnya boleh terbuka jika tingkap belakang diturunkan.
Dokumen-dokumen yang disiarkan baru-baru ini oleh Pentadbiran Keselamatan Lalu lintas Lebuh raya Kebangsaan menunjukkan bahawa kancing dan kabel kunci pada pintu berkemungkinan tidak disambungkan secara betul di kilang. Dalam situasi-situasi tertentu, pemasangan tingkap boleh mengganggu dengan kabel itu dan secara tidak sengaja membuka pintu.
Menurut dokumen itu lagi terdapat beberapa insiden yang menyebabkan masalah itu, namun Nissan berkata setakat ini belum terdapat sebarang laporan kemalangan atau kecederaan.
Dokumen itu kemudian menjelaskan bahawa, pertama kali Nissan mendapati masalah itu adalah pada musim panas lepas apabila ia diberitahu akan satu insiden di mana pintu belakang terbuka secara tidak disangka.
Ia terjadi lagi pada bulan September atau Oktober. Nissan menyiasat dengan lebih lanjut dan mendapati penyambungan kabel yang tidak betul. Ia melakukan pertukaran di kilang namun menyatakan masalah itu disebabkan kesilapan pada pemasangan.
Kebanyakan kenderaan yang ditarik balik itu berada di AS dan Kanada dengan beberapanya di Mexico dan Korea Selatan.
Nissan akan memaklumkan kepada para pemilik mengenai penarikan balik itu dalam jangka dua bulan mendatang. Para pengedar boleh mengubahsuai pintu-pintu itu bagi memastikan kabel-kabel disambung dengan betul. – AP