Nissan Terra buat kejutan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Boustead Sdn Bhd, satu-satunya pengedar kenderaan Nissan di negara ini, telah melancarkan kereta terbaharunya, Nissan Terra pada malam hari ini di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Hotel and Country Club.

Pelancaran eksklusif Nissan Terra dihadiri oleh Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah serta ahli pengurusan bank dan institusi kewangan, ahli media dan pelanggan-pelanggan.

Tambahan terbaharu Nissan tersebut dianggap sebagai salah satu daripada kemunculan terbesar bagi jenama tersebut kerana ianya merupakan satu peristiwa penting dalam inovasinya.

“Nissan telah terlibat dalam pembinaan kereta SUV selama lebih dari 60 tahun dan telah menerima reputasinya dalam melintasi medan-medan yang mencabar di seluruh dunia yang telah membuktikan keupayaan Nissan untuk membina SUV yang kuat dan kukuh.

“Oleh itu, berdasarkan kepada itu, ia telah memajukan pembangunan Nissan Terra yang baharu, dan anda sentiasa boleh percaya dengan Terra untuk membawa anda ke mana sahaja,” jelas Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee, dalam ucapannya di majlis pelancaran tersebut.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah ketika menghadiri majlis pelancaran eksklusif Nissan Terra.
Nissan Terra yang dilancarkan pada malam kelmarin.

Nissan Terra dibangunkan dan dibina di Asia bagi pelanggan Asia. Luaran kereta Nissan Terra menawarkan kekuatan dan ‘ruggedness’ kenderaan utilti termasuk gril ‘V-Motion’ dan lampu depan boomerang yang memberikan bentuk yang lebih menawan. Terdapat dalam lapan warna; Biru Gelap, Hitam, Merah, Kuning Emas, Perak, Putih Mutiara, Coklat Bumi dan Kelabu Senja.

Dalaman kereta Nissan Terra boleh menampung sebanyak tujuh penumpang dan menawarkan ruang yang besar dengan ruang kabin terbaik dan dalaman yang mantap, memberikan keselesaan kepada semua.

Sebagai sebahagian daripada rancangan Nissan untuk bergerak ke arah masa depan, Nissan Intelligent Mobility, di mana ia bertujuan untuk mencapai tujuan kenderaan yang tiada emisi (emission) dan tidak terhenti di jalan dengan mengubah kereta menjadi rakan yang lebih responsif dengan mendefinisikan semula bagaimana kereta dipandu, dikuasai dan diintegrasikan ke dalam kehidupan masyarakat, Gred Premium 4WD menambah teknologi pintar untuk pemanduan yang lebih selamat dan yakin.

Dikuasai dengan enjin diesel 2.5-liter yang menawarkan prestasi terbaik dalam kelas, ia menawarkan kuasa kuda 190Kw yang mengagumkan dan tork 450Nm yang memberikan pemanduan laju dan pecutan yang menarik. Ia juga mempunyai jarak dengan tanah yang tinggi yang dapat mengurangkan risiko kerosakan dari jalan yang tidak rata, oleh itu, ia sesuai untuk pemanduan bandar dan pemanduan luar jalan.

Pada majlis tersebut juga, YAM Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah turut menyempurnakan penganugerahan anak kunci kepada salah seorang daripada kumpulan pertama pemilik Nissan Terra.

Orang ramai yang berminat untuk melihat lebih dekat mengenai Nissan Terra atau bertanya maklumat lanjut adalah dialu-alukan untuk melawat Bilik Pameran Nissan di Beribi dan Kuala Belait dan dapatkan bantuan daripada wakil jualan Nissan.