NJWA nyanyi semula lagu raya

Penyanyi NJWA (gambar bawah) mengakui teruja apabila diberi peluang menyanyikan semula (cover) empat lagu raya malar segar bagi kempen Cover Lagu Raya TV3 yang dilancarkan sempena Syawal tahun ini.

Menurut NJWA, 33, lagu-lagu tersebut dirakam dengan susunan muzik baharu yang dapat membangkitkan semangat Aidilfitri meskipun dalam keadaan negara yang sedang memerangi virus COVID-19.

“Seronok apabila dapat peluang menyanyikan semula lagu evergreen ini… sepanjang PKP ini kita hanya terperap dalam rumah, jadi apabila menerima peluang ini semestinya saya tidak menolak dan rasa macam dapat lepaskan gian!

“Memang teruja dapat menyanyikan semula lagu-lagu popular ini dan berharap ia dapat membangkitkan semangat hari raya dan keindahan Syawal tahun ini,” katanya kepada media.

Anak kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini ditemui semasa sesi temu bual yang diadakan secara dalam talian pada Rabu lalu.

Turut menyertai sesi tersebut ialah ketua pegawai eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan kumpulan V.E.

Empat lagu yang menerima sentuhan susunan muzik berlandaskan irama jazz klasik itu ialah Dendang Perantau nyanyian asal Tan Sri P. Ramlee, Selamat Hari Raya (Saloma), Selamat Hari Raya (Fazidah Joned) dan Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Elina).

Ditanya adakah bapanya sudah mendengar lagu yang diberi nafas baharu ini, NJWA berkata dia ada berkongsi video muzik tersebut bersama keluarga.

NJWA atau sebelum ini lebih dikenali Najwa Mahiaddin memberitahu sudah menjadi kebiasaan untuk dia berkongsi perkembangan tentang kerjaya seninya dengan keluarga.

“Saya ada kongsi dalam group family chatting… sudah jadi kebiasaan apa sahaja projek yang saya buat pasti saya akan kongsikan dalam group tersebut.

“Saya rasa bapa sudah dengar…Alhamdulillah, keluarga sangat memberi sokongan, tak kisahlah apa projek lagu sekalipun mereka akan support!,” ujarnya. – Agensi