Nketiah hantar Arsenal ke separuh akhir

LONDON, 22 DIS – Eddie Nketiah berjaya meledak hatrik untuk pasukan Arsenal sekali gus membantu pasukan mara ke pusingan separuh akhir Piala Liga selepas membenam Sunderland 5-1, kelmarin.

Penyerang berusia 22 tahun itu bakal menamatkan kontrak pada penghujung musim ini dan memberikan peringatan kepada kelab lain pada jendela perpindahan Januari ini bahawa dia seorang pemain yang berbisa di hadapan pintu gol.

Nicolas Pepe dan Charlie Patino yang membuat penampilan sulung turut berjaya menjaringkan gol untuk The Gunners ketika perlawanan dilangsungkan di The Emirates tanpa sebarang sekatan jumlah pengunjung meskipun datuk bandar London, Sadiq Khan mengumumkan ‘insiden besar’ di ibu kota London dengan lonjakan kes jangkitan koronavirus.

Arsenal hanya satu-satunya daripada lapan pasukan Liga Perdana Inggeris yang beraksi pada hujung minggu ketika gelombang kes COVID-19 berpunca daripada varian Omicron menjejaskan jadual perlawanan bola sepak.

Mikel Arteta membuat sembilan pertukaran daripada pasukannya yang membelasah Leeds 4-1, namun Arsenal tidak pernah bimbang daripada menerima kejutan.

Nketiah membuka jaringan seawal minit ke-17 ketika dia membuat percubaan dari jarak dekat selepas menyambut tandukan Rob Holding yang diselamatkan oleh penjaga gol, Lee Burge.

Pepe yang semakin dipinggirkan musim ini kerana prestasi cemerlang pemain muda Bukayo Saka, Emile Smith Rowe dan Gabriel Martinelli.

Pemain Ivory Coast itu diberikan peluang untuk menyinar dan membuat pertukaran hantaran dengan Cedric Soares sebelum rembatannya terlantun menewaskan Burge.

Nathan Broadhead menjaringkan gol untuk Sunderland sebelum separuh masa tamat.

Tetapi Nketiah segera mengembalikan kelebihan dua gol Arsenal memasuki separuh masa kedua, menyambut hantaran lintang Nuno Tavares untuk menyudahkannya ke dalam gawang. – AFP

Reaksi Eddie Nketiah meraikan gol untuk membantu Arsenal membenam Sunderland 5-1 dalam saingan Piala Liga, semalam. – AP