Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Nkunku lanjutkan kontrak hingga 2026

    BERLIN, 24 JUN – RB Leipzig telah melanjutkan kontrak penjaring terbanyaknya musim lalu, Christopher Nkunku sehingga 2026, menurut pengumuman yang dibuat kelmarin.

    Pemain berusia 24 tahun itu berada dalam prestasi terbaik pada musim lalu, menjaringkan 35 gol, termasuk 20 gol di Bundesliga, ditambah pula dengan 19 assist dalam 50 perlawanan di kesemua kejohanan.

    Hasil prestasi hebat pemain itu telah membuatkanya berjaya dipilih untuk membuat penampilan sulung bersama pasukan kebangsaan Perancis pada Mac lalu dan menarik perhatian bekas kelabnya iaitu Paris Saint-Germain dan Manchester United.

    Nkunku masih lagi mempunyai tempoh masa dua tahun dalam kontrak asalnya tetapi pengarah pengurusan RB Leipzig, Oliver Mintzlaff memberi jaminan bahawa pemain tersebut akan memberikan khidmatnya selama empat tahun lagi.

    Menurut laporan, perjanjian baharu tersebut termasuk peningkatan pembayaran gaji. Sementara itu majalah Kicker dan akhbar harian Jerman, Bild melaporkan klausa perlepasan akan mula dijalankan pada musim panas depan dengan nilai AS$63 juta.

    Gambar fail Christopher Nkunku beraksi mengawal bola dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA antara Perancis dan Croatia pada 13 Jun 2022. – AP

    “Saya berasa kagum dengan usaha kelab untuk mengekalkan saya dalam pasukan, sangat-sangat berterima kasih kepada mereka bertanggungjawab terutamanya Oliver Mintzlaff, seseorang yang rapat dengan saya,” menurut kenyataan Nkunku.

    RB Leipzig memenangi Piala Jerman musim lalu, menjadikan ia adalah kejohanan pertama yang dimenangi oleh kelab tersebut sejak ia ditubuhkan pada 2009.

    Selain daripada itu, kelab tersebut juga berjaya menaiki carta bola sepak Jerman dari liga kelima dengan meraih promosi empat kali dalam masa tujuh tahun.

    Kelab berkenaan juga sekali lagi berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pada musim depan dan Nkunku berkata bahawa kelab tersebut mempunyai cita-cita yang besar.

    “RB Leipzig mencipta nama mereka sendiri di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kelab ini juga menunjukkan bahawa mereka mampu bersaing untuk merebut kejohanan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...