Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    NLMS ganti sistem kaunter Jabatan Buruh

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan memperkenalkan Sistem Pengurusan Buruh Kebangsaan (NLMS) bagi menggantikan sistem berkaunter di jabatan itu.

    Ini adalah bagi memudahkan orang ramai dan agensi pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Buruh menghadapkan permohonan bagi perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan berkenaan seperti permohonan Lesen Pekerja Asing (LPA) dan Lesen Perkhidmatan Domestik (LDP) secara dalam talian.

    Jabatan Buruh menjelaskan, pelaksanaan sistem baharu berkenaan akan dilakukan secara berfasa bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan dengan baik dan teratur.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, jabatan itu turut menjelaskan bahawa pendaftaran sistem NLMS itu akan dibukakan kepada majikan yang memegang LPA dan LPD bermula 1 April depan.

    Pendaftaran akaun hendaklah dibuat melalui laman sesawang nlms.gov.bn, manakala bagi orang ramai dan majikan baharu yang belum mempunyai LPA atau LPD juga dikehendaki membuat pendaftaran.

    Sementara itu, bagi pengesahan maklumat keterangan pemohon, LPA dan LPD, majikan akan dihubungi oleh Jabatan Buruh pada waktu pejabat manakala bagi orang ramai atau majikan baharu yang belum mempunyai LPA atau LPD, mereka juga akan dihubungi bagi pengesahan melalui pautan yang akan dihantar menerusi e-mel untuk mengaktifkan akaun dan membuat sebarang permohonan dalam talian.

    Majikan hanya boleh menggunakan NLMS bagi membuat permohonan secara dalam talian setelah butiran dikemas kini dan disahkan oleh Jabatan Buruh.

    Sehubungan itu, jabatan itu mengingatkan majikan-majikan yang memiliki lebih daripada satu LPA dan telah melantik pemegang kad urusan bagi menguruskan syarikat masing-masing untuk didaftarkan dalam NLMS.

    Manakala itu, bagi majikan yang belum melantik wakil syarikat, hendaklah menghadapkan permohonan untuk melantik wakil syarikat melalui NLMS. Tatacara pendaftaran bagi sistem NLMS boleh diperolehi di laman sesawang Jabatan Buruh, www.labour.gov.bn dan untuk keterangan lanjut boleh menghubungi talian 2382678, 2380256, 2381907, 2323905 atau 2383006.

    Di samping itu, kios-kios khas juga disediakan di kaunter, ruang legar Jabatan Buruh bagi memudahkan orang ramai membuat pendaftaran dengan mendapat bantuan daripada Jabatan Buruh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...