NMPA lulus ujian klinikal 16 jenis vaksin

BEIJING, 21 FEB – Pentadbiran Produk Perubatan Negara (NMPA) China pada Jumaat memaklumkan, terdapat 16 jenis vaksin COVID-19 keluaran negara ini sudah diluluskan untuk menjalani ujian klinikal, enam daripadanya berada dalam fasa ketiga.

Terdahulu, pemasaran dua vaksin yang dihasilkan oleh Kumpulan Farmaseutikal Nasional China (Sinopharm) dan Sinovac Biotech telah diluluskan secara bersyarat, masing-masing pada 30 Disember 2020 dan 5 Februari tahun ini.

Menurut undang-undang berkenaan, NMPA boleh meluluskan secara bersyarat permohonan pendaftaran vaksin yang diperlukan bagi menghadapi kecemasan kesihatan awam kritikal.

Pada masa sama, syarikat terbabit diwajibkan menyelesaikan ujian klinikal fasa ketiga vaksin berkenaan seperti dirancang serta penyelidikan selanjutnya selepas vaksin dipasarkan.

Dua vaksin yang telah dipasarkan itu dihasilkan dengan menggunakan teknologi menyahaktifkan virus.

Ketua kumpulan kerja penyelidikan dan pembangunan vaksin China, Zheng Zhongwei menyatakan keselamatan dan keberkesanan adalah dua penunjuk paling penting untuk menilai sesebuah vaksin.

Vaksin menyahaktifkan virus telah digunakan puluhan bilion orang dalam lebih 100 tahun lalu. Keselamatan dan keberkesanannya sudah melalui ujian masa dan dibuktikan secara saintifik. – Bernama