Nobody ada mesej penting – Faizal Tahir

Penyanyi, Faizal Tahir, 42, menjadi antara idola bagi generasi baharu sama ada menerusi bidang nyanyian mahupun dunia penciptaan lagu sejak berkecimpung dalam arena muzik.

Satu kelebihan Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohd Tahir apabila setiap karya dihasilkan sarat dengan mesej berguna bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat pendengar.

Tak kira apapun genre lagu yang ditampilkan pada setiap karya, Faizal berjaya memikat hati pendengar, sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, Faizal yang popular menerusi lagu Ragaman muncul menerusi single Nobody terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

Faizal berkata, perkara penting yang ingin disampaikan dalam single Nobody adalah mesej buat dirinya dan orang sekeliling.

Karya yang dihasilkan Faizal Tahir sarat dengan mesej berguna bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat pendengar. – Agensi

“Apa yang cuba disampaikan dalam single ini sebenarnya untuk diri saya terlebih dahulu. Yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri, menjaga dengan baik, jujur dan ikhlas kerana Allah. Saya percaya jika ada niat tulus, Insya-Allah karya pun mendapat keberkatan.

“Jadi, keunikan single ini adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan.

Bagi saya, single Nobody adalah mesej lain daripada yang lain yang pernah disampaikan sebelum ini,” katanya kepada media.

Seperti kebanyakan karya lain, single ini sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer seperti Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Faizal berkata, dia selesa bekerja dalam pasukannya kerana dapat berkongsi banyak idea, sekali gus melahirkan karya terbaik dan unik.

“Nobody adalah single berbentuk moden dan balada. Sebab dunia muzik sudah berbeza, komposer yang bersama saya dalam penghasilan lagu juga sedang meningkat naik dan banyak lagu keluar di radio. Jika nak tahu, ini memang cara saya bekerja dan suka melakukannya bersama-sama.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala kerana sudah biasa. Seperti ketika nak menjadi komposer, saya sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga. Tetapi, saya sedar bekerja secara pasukan membuatkan lagi kuat, banyak idea dan berbeza terutama bekerja dengan mereka mempunyai pengalaman.

“Macam saya sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baharu daripada anak muda.

“Jadi, kami membantu mencari yang terbaik. Disebabkan itu, saya suka bekerjasama. Setiap orang diberikan kelebihan dan idea berbeza. Apa yang penting, kami terbuka, bertolak ansur dan boleh terima idea. Malah, boleh melakukan apa sahaja perubahan yang dibuat. Sebenarnya, bekerja secara kumpulan lebih mudah,” katanya.

Mengenai harapan terhadap single Nobody, Faizal berkata, dia berharap mesej yang disampaikan dalam dapat memberi manfaat bukan sahaja buatnya dan pendengar.

“Mestilah saya mengharapkan mesej disampaikan diterima dan dihadam dengan baik setiap Paling penting dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengar dan memahaminya.

“Saya harap orang lain yang mendengar menjadi insan lebih baik,” katanya.

Berkongsi mengenai video muzik, Faizal berkata, ia masih dalam proses pembikinan.

“Saya sedang dalam perancangan menyiapkan video muzik lagu ini. Apa boleh dikatakan, video muzik paling unik dan mencabar untuk saya dan pasukan. Ia sangat berbeza, jadi saya teruja dan tak sabar untuk melihat hasilnya,” katanya. – Agensi