Noel dibenarkan keluar hospital selepas mengalami konkusi

LOS ANGELES, 10 Jan – Pemain tengah Oklahoma City, Nerlens Noel telah dibenarkan untuk keluar dari hospital lewat semalam selepas mengalami konkusi apabila kepalanya terkena pukulan siku dari bintang Minnesota, Andrew Wiggins dalam perlawanan NBA pada malam sebelumnya.

Noel dipukul di bahagian muka oleh Wiggins yang cuba membawa bola untuk jaringan dunk. Noel terjatuh di tengah gelanggang pada perlawanan pusingan ketiga.

Menurut berita terkini yang dikeluarkan lewat semalam, pasukan Thunder mengesahkan bahawa Noel tidak sedarkan diri sebelum dia diusung keluar dari gelanggang.

Dia kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan OU di Oklahoma City di mana dia dirawat dan dijaga untuk pemerhatian lanjut semalaman.

Thunder berkata Noel telah diletakkan dalam protokol konkusi NBA. – AFP