NOKIA 6, yang pertama daripada barisan telefon Android jenama Nokia akan datang, secara rasminya awal minggu ini telah diumumkan oleh HMD Global, syarikat yang kini memiliki hak kepada jenama Nokia.
Diumumkan senyap-senyap di laman sesawang HMD Global menerusi kenyataannya, Nokia 6 merupakan telefon pintar peringkat pertengahan yang mengetengahkan reka bentuk dan jenama Nokia. Malangnya, peranti baru ini eksklusif bagi pasaran China.
Nokia 6 didatangkan terus dengan Android 7.0 Nougat, menonjolkan paparan HD-penuh 5.5 inci dengan perlin-dungan 2.5D Gorilla Glass dan dikuasakan dengan SoC Qualcomm Snapdragon 430 di samping RAM 4GB dan storan dalaman 64GB.
Peranti dua SIM ini disokong dengan bateri 3000mAh yang tidak boleh ditanggalkan.
Unibody Nokia 6 dibangunkan menggunakan aluminium siri 6000 dan punat utamanya dilengkapi pengimbas cap jari.
Untuk mengambil gambar, telefon pintar ini dilengkapi kamera belakang 16MP dengan apertur f/2.0, PDAF dan denyaran dua tona, di samping kamera depan 8MP dengan apertur f/2.0 untuk selfie.
Nokia 6 juga dilengkapi teknologi Dolby Atmos dan ‘dual amplifier’ bagi bunyi yang lebih kuat.

































