KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar dalam menjamin kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga tanpa mengira etnik, mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman.
“Langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.
“Sehingga 15 Ogos 2023, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meluncurkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi di mana sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR.

Selain itu program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Tekun Nasional dan program-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Anwar berkata di samping itu, pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.
Beliau berkata dalam kerangka ekonomi MADANI, pendekatan kerajaan sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif, namun untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan program Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat. – Bernama