Nolito tinggalkan Man City

MADRID, 17 Julai – Sevilla telah menandatangani pemain sayap antarabangsa Sepanyol, Nolito (gambar) dari Manchester City, umum kelab La Liga itu kelmarin.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang baru menyertai City dari Celta Vigo setahun yang lalu, berpindah dengan yuran dilaporkan bernilai sembilan juta euro (AS$10.3 juta) dan telah menandatangani kontrak tiga tahun.

“Nolito akan bersama Sevilla buat tiga musim seterusnya, sehingga Jun 2020,” menurut kelab dalam satu kenyataan dalam laman sesawang mereka.

Nolito telah menjaringkan enam gol antarabangsa dalam 16 kemunculan, tetapi bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian jurulatih City, Pep Guardiola musim lepas.

Dia akan mengambil tempat Vitolo di Ramon Sanchez-Pizjuan, selepas rakan sepasukannya di Sepanyol itu berpindah ke Atletico Madrid, dan bersatu semula dengan ketua jurulatih Sevilla, Eduardo Berizzo, yang pernah melatihnya di Celta selama dua tahun.

Berizzo akan berharap Nolito dapat menemui semula prestasinya, yang menyaksikannya telah menjaringkan 39 gol La Liga dalam 100 kemunculan dari tahun 2013-16 ketika dia bersama Celta.

Perjanjian itu melengkapkan minggu baik bagi Sevilla, selepas kelab itu juga berjaya menyambar penyerang Colombia, Luis Muriel dari Sampdoria.

Kelab kini telah membuat empat pembelian secara keseluruhan sejak Berizzo menjadi ketua jurulatih pada bulan Mei, selepas Jorge Sampaoli mengambil alih tugas melatih skuad antarabangsa Argentina.

Berizzo dilihat mahu mempertingkatkan lagi prestasi cemerlang musim lepas, yang mana Sampaoli menerajui Sevilla kepada kedudukan keempat dan tempat dalam Liga Juara-Juara. – AFP