Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Nombor bertuah Mah Wai Fong nyata beri kejutan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Walaupun menjadi peserta ketiga yang membuat pilihan, tuah menyebelahi Mah Wai Fong apabila muncul sebagai pemenang utama Kempen Tahun Baharu Cina BMW dalam acara cabutan terakhir semasa Jerayawara QAF Auto Onecity yang berlangsung di Pusat Membeli-belah Onecity, hari ini.

    Beliau membawa pulang 100,000 Royal Skies Miles dan Baucar Gaya Hidup BMW bernilai $1,000.

    Hadir untuk menyaksikan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bertuah di acara berkenaan ialah Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo.

    Pada acara berkenaan, lapan orang finalis yang telah dipilih dalam cabutan semasa sesi langsung Instagram yang diadakan pada 22 Mac lalu, perlu melalui dua pusingan untuk mencari pemenang bertuah untuk membawa pulang hadiah utama berkenaan.

    Dalam pusingan pertama, para pemenang telah memilih sampul surat mengandungi nombor yang memberikan giliran bagi mereka mencabut pelekat di papan untuk mengetahui tiga orang pemenang yang memasuki pusingan seterusnya dan lima orang pemenang hadiah sagu hati.

    Alisa Khoo bergambar ramai dengan lapan pemenang bertuah bagi Kempen Tahun Baharu Cina BMW.
    Salah seorang pemenang bertuah ketika melalui pusingan pertama.

    Pada pusingan kedua, tiga orang pemenang membuat pilihan sampul surat mengandungi nombor giliran untuk membuka bonet kereta bagi menentukan hadiah masing-masing.

    Mah Wai Fong membuat pilihan bertuah apabila bonet kereta yang dipilihnya mengandungi hadiah utama.

    Tempat kedua iaitu hadiah berupa 50,000 Royal Skies Miles dan Baucar Gaya Hidup BMW bernilai $500 telah dimenangi oleh Awangku Iswandi bin Pengiran Hamdani dan hadiah ketiga berupa 30,000 Royal Skies Miles dan Baucar Gaya Hidup BMW bernilai $300 telah dimenangi oleh Lau Ah Hwa.

    Sementara itu, lima orang pemenang sagu hati iaitu Jasdeep Singh Bhullar, Pengiran Saiful Shahrin bin Pengiran Kamaluddin, Dayang Suriati binti Haji Awang Mohamad, Dayang Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid dan Jenelyn Cercado Lim, masing-masing membawa pulang 20,000 Royal Skies Miles dan baucar gaya hidup BMW bernilai $100.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di akhir acara itu, Mah Wai Fong berkata bahawa beliau tidak menyangka akan memenangi hadiah utama bagi kempen berkenaan serta merakamkan perasaan syukur kerana nombor 3 yang dipilihnya dalam kedua-dua pusingan berkenaan adalah nombor bertuah baginya.

    Beliau berkata hadiah Royal Skies Miles berkenaan akan digunakannya untuk menyampaikan hajatnya melancong ke luar negara iaitu Jepun sebagai meraikan persaraannya tidak lama lagi.

    Di samping itu, ia juga akan digunakan untuk membuat perjalanan bagi menghadiri majlis tamat pengajian bagi anak lelakinya yang akan menamatkan pengajiannya dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Mengulas mengenai keputusan untuk membeli kereta BMW X4, beliau menyatakan bahawa keselesaan, ciri-ciri yang menarik, ruang dalaman yang luas serta perkhidmatan yang baik daripada QAF Auto telah mendorongnya membuat keputusan berkenaan.

    Pada masa yang sama, QAF Auto mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung ke jerayawara tersebut bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai kenderaan BMW daripada kakitangan mereka sehingga 2 April ini.

    Para pengunjung berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat model-model BMW terkini seperti BMW 118i, BMW 218i Gran Coupe, BMW 4 Series Gran Coupe, BMW X4 dan BMW iX3, yang sepenuhnya elektrik dan baru dilancarkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...