Nonny terima cinta Niezam?

Tidak mudah buat pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah (gambar bawah), 31, bangkit semula dan melupakan kisah silam yang pernah membelenggu hidup selepas dua tahun berpisah dengan bekas suami.

Hakikatnya, setiap manusia melalui jalan berbeza dan berdepan liku kehidupan. Nonny atau nama sebenarnya, Nonny Nadirah Zainuddin juga pernah bergelut dengan kehidupan yang kelam.

Bagaimanapun, kehadiran pelakon Niezam Zaidi yang dilihat akrab dengannya bagaikan memberi sinar. Biarpun mengundang seribu persoalan, adakah mereka sedang menjalinkan hubungan istimewa atau sekadar berpaksi membintangi drama Luka Di Hati Diya bersama?

Menjawab tanda tanya, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Istikharah Cinta itu terbuka membuka isi hatinya.

“Kami bergandingan dalam telefilem Bedah Motor pada 2016. Tanpa diduga, kami sekali lagi dipertemukan menerusi drama Luka Di Hati Diya arahan Eyra Rahman terbitan Global Station, tahun ini.

“Saya akui, kami mula berhubung semula dan bertanya perkembangan sejak tahun lalu. Niezam banyak memberikan saya galakan dan kata perangsang. Jika ikutkan selepas berpisah dengan bekas suami, saya bertuah memiliki teman seperti Heliza Helmi dan Mila Jirin yang berdiri teguh di belakang saya.

“Kemudiannya, Niezam pula hadir. Secara kebetulan, kami banyak berkongsi suka duka termasuk kisah peribadi yang tak menyebelahi diri. Mungkin itu juga antara ruang bicara yang membuatkan kami senang rapat,” katanya kepada media.

Bekas finalis program Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, Niezam juga menggalakkannya kembali aktif di pentas seni.

“Selain keluarga dan kehendak diri, Niezam menjadi pembakar semangat untuk saya kembali berlakon,” katanya.

Mengulas sejauh mana hubungan yang terjalin, Nonny berkata, dia dan Niezam tidak mengisytiharkan sebarang status terperinci.

“Saya suka berkawan dengan Niezam. Dia sangat baik dan menyenangkan. Lebih utama, dia faham situasi yang dialami.

“Cuma, untuk menebak terlalu jauh hubungan ini, saya tak mampu memberi jawapan pasti. Saya masih takut memulakan hubungan baharu.

“Saya bimbang mengadap episod hubungan sama. Jujurnya, saya bukan menafikan atau menyembunyikan hubungan yang terjalin. Saya selesa menyerahkan soal hati dan perasaan kepada Allah SWT.” – Agensi