Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Kempen cabutan bertuah Intracorp Beko FC Barcelona yang berakhir pada 31 Januari lalu menyaksikan Dayang Nooralifeah binti Haji Mantok terpilih sebagai pemenang utama yang memenangi hadiah berupa pakej perjalanan enam hari empat malam ke Sepanyol.
Pakej merangkumi tiket pergi balik ke Barcelona, hotel penginapan serta sarapan pagi untuk dua orang, jelajah bandar Barcelona dan tiket VIP menyaksikan perlawanan bola sepak di Camp Nou.
Sementara itu, tujuh pemenang lain menerima pelbagai hadiah berupa peralatan dapur jenama Beko termasuk pek FCB dan kit latihan Beko.
Hadiah untuk para pemenang disampaikan Ketua Pemasaran Intracorp (B) Sdn Bhd, Lolita Carman.
Kempen ‘Cheer FC Barcelona bersama Beko Musim 3’ yang bermula dari 15 Mei 2019 sehingga 31 Januari 2020 di kesemua cawangan Intracorp membolehkan pelanggan yang membeli peralatan rumah jenama Beko dalam satu resit layak menyertai cabutan bertuah.
