KUALA LUMPUR, 22 Jun – Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, wanita kedua memegang jawatan tersebut selepas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Pelantikan beliau berkuat kuasa 1 Julai, 2018 sehingga 30 Jun, 2023.
Nor Shamsiah, 54, mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletakkan jawatan awal bulan ini sebelum menamatkan perkhidmatan lima tahunnya sejak dilantik pada Mei 2016.
Anak kelahiran Kampung Baru itu yang merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik menyertai bank pusat pada 1987.
Beliau menjadi Penolong Gabenor pada Disember 2004 sebelum dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada November, 2010, selepas persaraan Datuk Zamani Abdul Ghani dan dilantik semula ke jawatan yang sama pada 2013.
Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat pada November 2016 untuk menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tahun yang sama Zeti menamatkan khidmatnya sebagai Gabenor pada April.
Nor Shamsiah memegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada University of South Australia dan merupakan felo Australian CPA.
Beliau memiliki pengalaman luas dalam membangunkan peraturan, dasar dan garis panduan bagi sektor perbankan dan juga terlibat dalam inisiatif resolusi sektor kewangan semasa krisis kewangan Asia serta pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan bagi pembangunan sistem kewangan Malaysia dari 2001 hingga 2010.
Beliau juga terlibat dalam penyiasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semasa berkhidmat di bank pusat.
Sementara itu, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyifatkan pelantikan Datuk Nor Shamsiah Yunus sebagai Gabenor BNM adalah satu keputusan baik yang diambil kerajaan kerana ia mencerminkan penghormatan terhadap bank pusat itu sebagai sebuah institusi penting.
Bekas gabenor BNM itu berkata, pelantikan Nor Shamsiah menerajui bank pusat itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran untuk melihat institusi tersebut terus bebas dalam menjalankan fungsi-fungsinya.
Mengenai desas desus bahawa pelantikan Nor Shamsiah adalah untuk memulihkan semula siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah bank pusat itu, Zeti menegaskan pelantikan tersebut mencerminkan keupayaan Nor Shamsiah dalam kestabilan kewangan yang juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Datuk Shamsiah merupakan bekas Timbalan Gabenor semasa saya berkhidmat dengan BNM.
“Beliau tahu semuanya tentang perbankan pusat dan beliau akan memulakan kerja dengan segera,” kata Zeti kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang mana beliau merupakan salah seorang ahlinya, di Menara Ilham, di sini, hari ini.
Menurut laporan berita, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan semasa wawancara beliau bersama Bloomberg TV yang pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.