BIARPUN masih bersedih dengan kematian suami, penyanyi popular, Nora Ariffin bangkit meneruskan hidup.
Selebriti berusia 44 tahun ini mengambil keputusan untuk mengatur langkah demi mencari sirna bahagia.
“Saya senyap kerana ketika itu masih dalam idah. Tapi, lama-kelamaan, saya sedar, saya harus kuat demi mencari rezeki buat anak-anak.
“Saya pilih kembali bekerja selepas lima bulan. Kalau saya menangis air mata darah sekali pun, dia tak akan hidup semula. Saya harus kembali menjalani hidup seperti biasa.
“Saya juga bayangkan kalau arwah masih hidup, dia pun nak saya bahagia dan teruskan hidup,” katanya.
Suami Nora yang juga komposer, Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac lalu.
Dalam diam, Nora sedang dalam proses pembikinan album tribut buat arwah suaminya dan menggunakan khidmat komposer baru, Sirkhan.
“Ini pengalaman baru saya uruskan semuanya. Album ini dah 70 peratus siap dan dijangka keluar Oktober nanti,” ujarnya.
Album berkonsepkan cerita itu bakal memuatkan koleksi lagu ciptaan Johan yang dinyanyikan artis ternama seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti dan Liza Hanim.
“Kandungan lagunya termasuk pembabitan awalnya sebagai komposer. Saya juga buat album ini untuk industri muzik, apresiasi daripada arwah untuk generasi akan datang.
“Lagipun, arwah ada rancang untuk buat tahun lalu, tapi tak kesampaian. Jadi, saya realisasikannya,” katanya.
Lebih istimewa, Hanya Satu diberi nafas lebih segar melalui susunan muzik yang baru oleh arwah suaminya.
“Sebenarnya, sebulan sebelum arwah meninggal dunia dia minta saya nyanyikan semula lagu ini,” katanya.