Pelakon tersohor Nora Danish mendedahkan dia kini mengalami masalah perasaan bimbang, atau anxiety, dan selalu berfikir buruk tentang sesuatu perkara.
Peningakatan usia antara faktor berlaku perubahan pada diri Nora, 40, menyebabkan dia selalu terfikir tentang kematian sehingga ada ketika perasaan yang datang menyebabkan dia takut menaiki pesawat.
“Saya memang ada anxiety dan stage fright. Baru-baru ini, saya dapat rasakan perubahan itu. Mungkin sebab faktor usia sekarang ini membuatkan saya sentiasa fikir tentang kematian.
“Saya sendiri seorang yang terlalu emosi dan sensitif, jadi apabila sesu-atu perkara terjadi ia menyumbang kepada overthinking.
“Bagaimanapun saya tidak mahu anggap ia sebagai satu yang negatif, sebaliknya fikir apa yang saya alami ini sebagai satu superpower yang boleh saya salurkan kepada perkara positif. Dengan cara ini saya akan lebih menghargai orang sekeliling,” katanya kepada media.
Bercakap tentang masalah tekanan, kata Nora pencapaian dalam kerjaya juga boleh membuatkan perasaan itu datang secara tiba-tiba.
Bagaimanapun Nora bijak mengatasi tekanan dan dia selalu mengingatkan diri sendiri supaya melakukan lebih baik di masa akan datang.
“Saya selalu bayangkan di usia 40 tahun akan capai pelbagai perkara namun masih ada yang belum dikecapi.
“Tidak salah untuk menangis jika rasa tertekan. Saya ingatkan diri sendiri supaya jangan mudah berputus asa dan menjadi lebih baik esok hari,” jelasnya.
“Saya ingin sampaikan kepada penonton bahawa masalah kesihatan mental ini perlu diambil berat dan ia boleh membawa maut jika tidak dikawal dari awal,” ujarnya. – Agensi