Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Nora Danish berkorban demi anak

    Kurang aktif berlakon kerana anak bongsu masih memerlukan perhatian, Nora Danish, 40, mengakui lebih mengutamakan keluarga buat masa ini.

    Nora atau nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif, memberitahu si kecil diberi nama Mohamed Neqayl atau Ney Ney yang bakal menyambut usia tiga tahun, sukar berenggang dengannya.

    “Ney Ney masih kecil. Apabila saya pergi kerja, Ney Ney menangis di rumah. Dia terlalu rapat dengan saya kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya jarang bekerja. Jadi, dia sudah biasa dengan saya yang selalu ada di rumah,” katanya kepada media.

    Nora mengakui masalah timbul apabila banyak kerja penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur. Sehubungan itu, syarikat produksi menempatkan kru dan pelakon di suatu lokasi sehingga kerja ‘shooting’ selesai.

    “Syarikat produksi mahu semua orang berkumpul di suatu tempat. Habis ‘shooting’ baru pulang. Jadi, susah untuk saya terima tawaran berlakon, apatah lagi bagi drama bersiri yang memperuntukkan masa panjang,” katanya.

    Nora Danish mengakui masalah timbul apabila banyak kerja penggambaran dilakukan di luar Kuala Lumpur. – Agensi

    Selepas memikirkannya, Nora mengakui belum masanya untuk dia kembali ke set penggambaran, namun, sesekali dia akan beraksi bagi mengelak rasa kekok berada di depan kamera.

    “Kita kena selalu berlakon untuk mengasah bakat kita. Kalau kita berhenti berlakon terlalu lama, nanti kita kekok. Kita kena sentiasa amalkan, baru boleh jadi lebih bagus.

    “Disebabkan itu, macam mana pun saya kena berlakon biarpun pada masa sama memikirkan untuk memperlahankan karier lakonan. Ia bermakna, dalam tempoh sebulan, saya hanya terima satu naskhah saja.

    “Contohnya, bulan ini saya menjalani penggambaran supertele arahan Eyra Rahman bersama hero, MK K-Clique. Sama juga bulan depan dan Mac, setiap bulan hanya satu naskhah supertele,” katanya pada sidang media telefilem terbaharunya, Survival 486 secara maya, baru-baru ini.

    Mengulas mengenai supertele Survival 486 yang diilhamkan daripada kisah benar, Nora berkata, cerita berkisar seorang pelajar perempuan yang pernah terperangkap di Gunung Tahan, Pahang selama 19 hari.

    “Berbeza dengan kisah sebenar, watak yang saya bawa iaitu Syuhada hanya terkandas di hutan selama dua hari, satu malam.

    “Sebenarnya, saya jarang menerima tawaran produksi yang mengambil masa agak panjang dan kerja ‘shooting’ di luar Kuala Lumpur.

    “Tetapi apabila dapat skrip daripada Zeel Production, saya sangat tertarik. Semuanya kerana cerita dipaparkan adalah kisah benar dan saya mahu mencabar diri yang tidak begitu lasak. Bukan sekadar lasak, saya perlu bermain dengan ular, lumpur dan menjiwai wanita yang mengalami tekanan.

    “Sebelum ini, orang banyak lihat saya dalam drama ringan. Kali ini, saya menjayakan sesuatu yang lebih mencabar,” katanya yang menjalani penggambaran di Hutan Bukit Air, Perlis.

    Apa yang menarik, selepas menjayakan supertele itu, Nora yang tidak gemar bersukan, mula jatuh cinta dengan aktiviti pendakian atau ‘hiking’.

    “Betul, semangat untuk ‘hiking’ timbul selepas penggambaran ini. Apabila masuk hutan, baru terasa seronoknya tengok alam semula jadi.

    “Kalau tidak, memang tiada aktiviti lasak yang saya lakukan. Malah, ketika bersekolah, saya tidak sertai aktiviti sukan.

    “Saya sudah mula ‘hiking’ sebab jatuh cinta dan rasa ketagih. Apabila tidak melakukannya, saya jadi rindu. Pada hari jadi saya Mac ini, saya merancang mendaki Gunung Kinabalu di Sabah. Insya-Allah,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...