Noraniza Idris didakwa timbulkan provokasi

Tindakan penyanyi Noraniza Idris berkongsi foto lukisan kartun dia bersama legenda Datuk Sudirman Arshad dengan kapsyen melabelkan Allahyarham sebagai ‘penyanyi nombor satu’ mengundang rasa kurang senang segelintir warganet.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, 52, didakwa sengaja menimbulkan provokasi terhadap penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan peminatnya di Instagram.

Noraniza ketika dihubungi media memberitahu, dia tidak menyangka penulisannya itu disalah erti dan dimanipulasikan warganet sehingga dirinya dianggap sengaja ingin bersaing dengan penyanyi berkenaan.

“Penulisan itu ditulis secara peribadi dengan menggunakan bahas santai. Saya tidak mahu terlalu formal dan bataskan penulisan sehingga terpaksa jadi hipokrit.

“Tapi tak sangka pula gelaran yang saya tulis Sudirman adalah penyanyi Asia nombor satu Malaysia itu disalah erti dan mula dimanipulasi.

Hanya kerana mengongsikan foto lukisan kartun bersama legenda Datuk Sudirman Arshad dengan kapsyen melabelkan Allahyarham sebagai ‘penyanyi nombor satu’, Noraniza Idris didakwa sengaja menimbulkan provokasi. – Agensi

“Ada komen warganet yang buat saya rasa tersentap kerana dianggap ‘gigih’ nak berlawan dengan seseorang. Saya rasa tercabar tetapi malas nak layan sangat.

“Sebab itu saya ada muat naik satu lagi status yang mengatakan saya berhak untuk menulis apa sahaja dan tidak perlu kecam,” katanya kepada media.

Sebelum ini, kapsyen di foto lukisan kartun Allahyarham Sudirman bersama Noraniza yang dimuat naik penyanyi itu mengundang perbalahan dalam kalangan peminat setia Siti Nurhaliza.

Menerusi laporan Harian Metro, Siti meminta peminatnya bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menulis sebarang komen di laman sosial terutama berkaitan isu melibatkan Noraniza.

Kata penyanyi Anta Pernama itu, dia menyedari ada segelintir warganet yang bukan dalam kalangan peminatnya yang meninggalkan komen berbentuk provokasi. Dalam pada itu, Noraniza memberitahu dia hanya mampu bersabar dengan komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Noraniza turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tergores hati dengan penulisannya dan menjelaskan perkongsian itu sekadar memberi tanda penghormatan kepada Allahyarham Sudirman.

“Bila dah masuk kisah busuk hati, AJL kalah makan hati… Astaghfirullah, saya mampu mengucap saja. Bahasa-bahasa mereka nauzubillah.

“Macam itu ke budak-budak sekarang meletakkan kita sebagai orang lebih tua di tapak kaki mereka sahaja. Terlalu taksub dengan perkataan nombor satu dan sengaja cetuskan isu.

“Apa-apa pun, saya mohon maaf jika ada yang tergores hati. Niat saya berkongsi itu sebagai tanda penghormatan kepada arwah Sudirman.

“Sebagai peminat arwah, sudah tentu saya teruja dan tak nak lepaskan peluang kongsikan kenangan itu di Instagram,” ujarnya. – Agensi