Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Norma baharu bukan penghalang meriahkan Hari Raya Aidilfitri

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap disambut meriah meskipun dalam norma baharu bagi melindungi kesihatan masing-masing dalam usaha memerangi wabak COVID yang masih menular di negara ini.

    Masyarakat yang menyambut Aidilfitri di negara ini tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka, yang mana ia sudah merupakan satu tradisi yang sudah menjadi amalan sejak dulu lagi.

    Selain dengan niat mengeratkan silaturahim bersama kalangan sanak saudara, secara kebiasaannya rumah terbuka akan diserikan dengan juadah istimewa agar ia menjadi kesenangan bagi ahli keluarga dan sahabat-handai datang mengunjungi pada hari dan waktu yang ditetapkan.

    Namun pada musim perayaan ini, garis-garis panduan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID yang dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID hanya membenarkan aktiviti kunjung-mengunjungi buat ahli keluarga terdekat yang tidak melebihi 30 orang, kapasiti tersebut tidak termasuk ketua keluarga rumah berkenaan manakala kapasiti yang dibenarkan di dalam dewan adalah seramai 300 orang.

    Sehubungan itu, acara-acara yang akan dilaksanakan hendaklah mematuhi garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka kecuali semasa makan dan minum, menjaga penjarakan fizikal, membuat ujian pantas antigen (ART) sebelum berkunjung ke rumah keluarga terdekat dan tidak melakukan kunjungan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

    Suasana Hari Raya Aidilfitri dengan berkonsepkan norma baharu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi melindungi kesihatan masing-masing dalam usaha memerangi wabak COVID.
    Suasana rumah terbuka di Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai juadah yang masih dapat dinikmati walaupun diraikan dengan konsep norma baharu.

    Sementara itu, pihak media turut berkesempatan menemu bual Dayang Suriani @ Sarrah ‘Aina binti Haji Abdul Rahman mengenai sambutan Hari Raya mengikut SOP ini yang menurutnya walaupun negara telah memasuki Fasa Endemik, mewujudkan suasana Hari Raya Aidilfitri itu amat penting untuk anak-anak agar mereka tidak terlalu tertekan dengan keadaan semasa.

    Ini kerana ibu bapa memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana Hari Raya dengan berkonsepkan norma baharu untuk anak-anak mereka.

    “Dalam keadaan sekarang ini, apa yang perlu dilakukan oleh para ibu bapa ialah ‘raya tetap raya’ walaupun ia disambut secara sederhana. Kita perlu memberitahu anak-anak kecil mengenai sambutan Hari Raya tahun ini,” tambahnya.

    Menurutnya lagi, rumah terbuka dengan norma baharu ini dengan mengikut SOP ditetapkan harus dipatuhi bagi membendung penularan wabak COVID daripada melonjak naik sekali lagi.

    Selain daripada itu, memberi duit raya juga yang menjadi salah satu tradisi semasa orang berkunjung ke rumah keluarga terdekat, kini berubah kepada pemberian melalui pemindahan akaun bank namun perkara tersebut mempunyai kebaikan yang dapat mewujudkan budaya menabung dalam kalangan anak-anak, jelasnya.

    “Insya-Allah, marilah kita sama-sama berdoa agar pada tahun yang akan datang kita dapat merayakan lagi Hari Raya Aidilfitri seperti biasa dengan lebih meriah lagi,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...