Norman catat rekod dunia 100 meter 9.86 saat

DALLAS, 21 JULAI – Pelari pecut 400 meter Amerika Syarikat (AS), Michael Norman mencatat rekod dunia dengan masa 9.86 saat untuk acara 100 meter dalam temasya sukan di Texas kelmarin, kata World Athletics.

Atlet berusia 22 tahun dari California itu menang di Fort Worth dalam acara 100m pertamanya sejak 2016.

“Selepas empat tahun yang panjang, saya akhirnya berjaya dalam larian pecut jarak 100m,” kata Norman dalam catatan di Twitter selepas perlumbaan.

Badan sukan trek dan lapangan Dunia Atletik kemudian menggambarkan masa Norman sebagai terpantas di dunia.

Larian 100m terpantas sebelumnya pada tahun 2020, yang telah menyaksikan musim ini tergendala oleh COVID-19, adalah 9.91 saat yang dicatat oleh Akani Simbine dari Afrika Selatan di Pretoria pada bulan Mac.

Norman sebagai lelaki kedua dalam sejarah yang berlari di bawah catatan masa 10 saat untuk 100m, di bawah 20 saat untuk 200m dan di bawah 44 saat untuk 400m.

Satu-satunya pelari pecut lain di bawah ketiga-tiga catatan masa itu adalah juara Olimpik 400m Afrika Selatan, Wayde van Niekerk. – AFP