ABU DHABI, 9 DIS – Lando Norris meraih kemenangan dalam perlumbaan penuh emosi dan insiden di Grand Prix Abu Dhabi kelmarin, memastikan gelaran juara konstruktor pertama untuk McLaren dalam tempoh 26 tahun, sementara Lewis Hamilton mengakhiri perlumbaan terakhirnya bersama Mercedes dengan kedudukan keempat yang luar biasa.
Pemandu berusia 25 tahun itu menamatkan perlumbaan 5.832 saat di hadapan Carlos Sainz dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc, sekali gus mematahkan cabaran Ferrari pada malam penuh insiden, penalti, dan drama di bawah lampu limpah Litar Yas Marina.
“Papaya di puncak!” kata Norris dalam pusingan perlahan selepas perlumbaan penutup musim itu.
“Tahniah kepada semua. Luar biasa. Saya sangat bangga dengan anda semua. Anda semua layak mendapatkannya. Ini adalah musim yang istimewa. Tahun depan akan menjadi tahun saya juga.”
McLaren tidak memenangi gelaran pasukan sejak 1998, setahun sebelum Lando Norris dilahirkan. Pasukan itu memulakan hari perlumbaan dengan kelebihan 21 mata serta mendominasi barisan hadapan, namun insiden di selekoh pertama menyaksikan Oscar Piastri berpusing selepas perlanggaran dengan juara dunia empat kali yang baru dinobatkan, Max Verstappen dari Red Bull.
Ferrari, dengan Charles Leclerc bermula di petak ke-19, mengambil peluang daripada situasi itu dan melakukan usaha gigih meskipun akhirnya gagal merebut gelaran, apabila mereka menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga. Lewis Hamilton pula mengakhiri perlumbaan di tempat keempat selepas memintas rakan sepasukannya, George Russell, pada pusingan terakhir.
Russell di tempat kelima, diikuti Verstappen, yang dikenakan penalti 10 saat akibat pelanggaran dengan Piastri. Pierre Gasly dari Alpine meraih tempat keenam, manakala Nico Hulkenberg dari Haas di tempat kelapan.
Fernando Alonso di tempat kesembilan untuk Aston Martin, sementara Piastri menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 setelah usaha gigih di kereta McLaren keduanya. – AFP