STOCKHOLM, 10 SEPT – Pembuat bateri kereta elektrik Sweden, Northvolt berkata kelmarin ia akan mengurangkan tenaga kerjanya ketika syarikat mengurangkan operasinya untuk memberikan tumpuan kepada kilang giga utamanya di Sweden.
Pengumuman itu dibuat ketika jualan kereta elektrik merosot di Eropah dan benua itu ketinggalan jauh di belakang China dalam pengeluaran bateri.
“Kami perlu mengambil beberapa tindakan sukar dengan tujuan menjamin operasi Northvolt untuk meningkatkan kestabilan kewangan dan mengukuhkan prestasi operasi kami,” kata Ketua Eksekutif, Peter Carlsson, dalam satu kenyataan.
Menurut akhbar harian perniagaan Dagens Industri, keadaan kewangan Northvolt merosot dengan ketara pada penghujung musim panas.
Northvolt berkata ia sedang membina kemudahan membuat bahan aktif katod di tapak utama di Skelleftea, Sweden, sebagai unit penjagaan dan penyelenggaraan sehingga diberitahu kelak.
Langkah itu dibuat selepas pengumuman Northvolt baru-baru ini di mana ia membatalkan rancangan untuk membina kemudahan bagi menghasilkan bahan bateri di Borlange, Sweden.
“Mekanisme penjimatan kos yang diperlukan untuk Northvolt bagi memenuhi objektif utamanya untuk memfokuskan pada pembuatan sel berskala besar malangnya akan menghadapi beberapa keputusan sukar mengenai saiz tenaga kerja kami bagi memadankan keperluan jumlah operasi yang dikurangkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – AFP