STOCKHOLM, 29 DIS – Kumpulan bateri Sweden Northvolt berkata hari ini ia telah melancarkan ‘kilang gergasi’ di Sweden, yang pertama dilancarkan oleh syarikat Eropah di benua itu.
Bertujuan bersaing dengan pengeluar Amerika Syarikat Tesla dan pengeluar bateri litium-ion Asia untuk kenderaan elektrik, kilang yang terletak di Skelleftea di utara Sweden telah memasang sel elektrik pertamanya ‘pada malam semalam,’ kata Northvolt dalam satu kenyataan.
Sebaik sahaja beroperasi pada kapasiti penuh, tapak itu dijangka mengeluarkan bateri yang cukup untuk menjana satu juta kenderaan elektrik setahun, dengan kapasiti pengeluaran tahunan 60 gigawat jam (GWh), menurut firma.
“Hari ini merupakan peristiwa bersejarah untuk Northvolt di mana kumpulan pekerja telah bekerja keras untuk mencapainya. Sudah pastinya, bateri pertama ini hanya satu permulaan. Pada tahun-tahun akan datang, kami berharap Northvolt Ett mengembang kapasiti pengeluarannya untuk membolehkan Eropah beralih kepada tenaga bersih,” kata Northvolt.
Northvolt, salah satu syarikat bateri terkenal di Eropah, telah pun menjamin tempahan bernilai AS$30 bilion daripada syarikat gergasi kereta Eropah termasuk BMW dan Volkswagen di Jerman dan Volvo di Sweden, di mana ia merancang membina kilang kedua di Eropah.
Kilang baharu itu, digelar ‘Northvolt Ett’ dalam bahasa Sweden, telah pun menggaji 500 pekerja dan mungkin menggaji 3,000 sebaik sahaja mencapai kapasiti penuh.
Syarikat Sweden itu, yang telah pun mengumpul pembiayaan berjumlah beberapa bilion euro, ditubuhkan pada 2016 oleh Peter Carlsson dan Paolo Cerruti, bekas pekerja Tesla.
Pemegang sahamnya termasuk Volkswagen, Goldman Sachs, BMW, dana Nordic dan sejak 2020, pengasas Spotify, jutawan Sweden Daniel Ek. – AFP