Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Noru bawa banjir ke Laos, Thailand

    VIENTIANE/BANGKOK, 29 SEPT – Taufan Noru membadai di tengah Vietnam kelmarin, kini beralih ke Laos dan Thailand, membawa banjir ke beberapa kawasan di wilayah Attapeu, selatan Laos dan Ubon Ratchathani di Thailand.

    Di Laos, biro cuaca mengeluarkan amaran hujan lebat dan banjir dijangka melanda di beberapa kawasan lain, lapor Xinhua.

    Banjir telah menyebabkan sebilangan besar penduduk terjejas dan menenggelamkan kira-kira 300 rumah di daerah Sanxay di wilayah Attapeu.

    Noru membadai Laos hari ini dan pihak berkuasa tempatan bertungkus lumus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Sekurang-kurangnya 2,000 orang telah ditempatkan di pusat perlindungan. Banjir turut memusnahkan kolam ikan dan merosakkan sistem pengairan, sekolah, talian elektrik, kemudahan penjagaan kesihatan, jalan raya serta infrastruktur lain.

    Kementerian Pertahanan telah mengarahkan kira-kira 40,000 tentera untuk membantu operasi menyelamat.

    Di Thailand, Noru membawa hujan lebat sehingga mencetuskan banjir di wilayah timur laut, Ubon Ratchathani di mana 5,000 orang dipindahkan ke tempat perlindungan.

    Seorang dilaporkan maut dan dua lagi cedera dihempap pokok tumbang di wilayah Sisaket. Noru turut mengakibatkan kawasan terjejas di Thailand bergelap dan meranapkan bumbung dan papan iklan.

    Lebih 10,000 isi rumah terjejas oleh banjir di Thailand, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana.

    Penyelamat terpaksa meredah banjir setinggi pinggang untuk mengagihkan makanan dan pakej penjagaan kepada orang ramai yang terperangkap dalam rumah mereka. – Bernama/AP

    Penduduk meredah air banjir di wilayah Ubon Ratchathani di timur laut Thailand, 29 Sept. Hujan lebat menjejaskan Laos dan Thailand selepas Taufan Noru membadai Vietnam. –AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...