Norway gah bolosi pertahanan Sweden

OSLO, 13 JUN – Erling Haaland berjaya menjaringkan dua gol dan membantu meledak jaringan ketiga ketika Norway menewaskan Sweden 3-2 dalam Liga Negara-Negara di Stadium Ullevaal, Oslo, kelmarin.

“Saya tak terkata!” kata penyerang berusia 21 tahun itu kepada pihak televisyen Norway, sebelum dia menambah: “Ini adalah kali pertama saya bermain dalam stadium yang penuh, dan menang menewaskan Sweden dalam perlawanan akhir pada musim ini, ia sesuatu yang indah.”

Haaland, pemain perpindahan ke Manchester City dari Borussia Dortmund pada musim panas ini, membantu Norway mendahului pada minit ke-10 selepas menanduk masuk bola hantaran ke gawang.

Dia menambah satu lagi mata hasil daripada gol penalti pada minit ke-54 selepas Hjalmar Ekdal melakukan kekasaran kepada Alexander Sorloth.

Jaringan itu adalah jaringan gol ke-20nya di peringkat antarabangsa dalam 18 kali membuat penampilan bersama Norway.

Aksi Martin Odegaard (kiri) berebut bola dengan Robin Quaison dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA antara Norway dan Sweden di Oslon, Norway. – AFP

Sementara itu, Sweden menyerang balas lapan minit kemudian apabila Emil Forsberg menjaringkan bola hantaran daripada Dejan Kulusevski.

Kemudian Haaland membuat hantaran melintang kepada Sorloth, memberinya peluang untuk menjaringkan gol dan memulihkan dua gol pendahuluan selepas minit ke-77.

Forsberg berasa kecewa dengan ahli pasukannya kerana melepaskan beberapa peluang untuk meraih gol.

“Ia sangat mudah untuk menjaringkan gol ketika menentang kami,” katanya.

Viktor Gyokeres memberikan pasukan Sweden sedikit harapan dengan menjaringkan gol, lima minit dalam masa tambahan.

Jurulatih Norway, Stale Solbakken mengatakan bahawa Sweden setakat ini menyerang dengan baik berbanding pertahanan mereka. “Saya berasa pasukan kami lebih baik tetapi ia adalah penting untuk mendapatkan gol pertama, sekali gus sebagai pendorong mentaliti kami,” katanya lagi.

Kemenangan tersebut memberikan Norway sebanyak 10 mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan B4. Sementara itu, Serbia menduduki tangga kedua, pasukan yang akan membuat kunjungan pada Ahad nanti, dengan jurang empat mata, manakala Sweden pula dengan jurang tujuh mata. – AFP