Norway gantung aplikasi jejak virus

OSLO, 15 JUN – Pihak berkuasa Norway berkata hari ini mereka telah menggantung satu aplikasi bertujuan membantu mengesan penularan koronavirus baharu selepas agensi perlindungan data negara berkata ia mengancam privasi.

Dilancarkan pada April, aplikasi telefon pintar Smittestopp dicipta untuk mengumpul data pergerakan bertujuan membantu pihak berkuasa mengesan penularan COVID-19, dan menghubungi pengguna sama ada mereka telah terdedah kepada seseorang yang membawa koronavirus.

Pada Jumaat, agensi data, Datatilsynet mengeluarkan amaran bahawa ia akan menghalang Institut Kesihatan Awam Norway daripada mengendali data yang dikumpul menerusi Smittestopp.

Datatilsynet berkata penularan koronavirus yang terhad di Norway, serta keberkesanan terhad aplikasi disebabkan sebilangan kecil orang yang menggunakannya, bermakna ancaman privasi hasil daripada penggunaannya adalah tidak seimbang.

Camilla Stoltenberg, pengarah institut kesihatan awam, berkata beliau tidak bersetuju dengan penilaian tersebut, namun institut akan mengeluarkan semua data aplikasi dan menggantung kerjanya sekarang.

Stoltenberg berkata ia melemahkan respons Norway terhadap penularan koronavirus. “Pandemik masih belum berakhir,” kata beliau.

Kira-kira 600,000 daripada 5.4 juta penduduk Norway menggunakan aplikasi tersebut. – AFP