Norway lancar aplikasi jejak virus

OSLO, 17 APRIL – Norway, salah sebuah negara Eropah pertama yang mula membatalkan perintah berkurung, sedang melancarkan aplikasi penjejak telefon pintar untuk menghalang koronavirus daripada kembali.

Aplikasi ‘Smittestop’ atau ‘hentikan jangkitan’ telah dibangunkan di negara Nordik untuk memberikan pihak berkuasa kesihatan gambaran yang lebih baik tentang penularan COVID-19 dan memberitahu pengguna sama ada mereka mempunyai kontak dengan penyakit itu.

“Untuk kembali kepada kehidupan normal dan mengawal virus ini, kita semua perlu berusaha dan menggunakan aplikasi ini,” kata Perdana Menteri, Erna Solberg.

“Jika kita gagal mengawal pandemik, kita perlu memperketat langkah lagi,” beritahunya pada sidang akhbar semalam.

Penggunaan aplikasi bukan mandatori dan adalah percuma. Pengguna akan dimaklumkan jika berada dekat (kurang dua meter) daripada seseorang yang dijangkiti koronavirus selama lebih daripada 15 minit, namun tidak mengenal pasti orang tersebut.

Pergerakan pengguna akan didaftar dengan penempatan geografi untuk membolehkan pihak berkuasa mengukur keberkesanan pelonggaran sekatan dan sama ada langkah baharu perlu dilaksanakan.

Meskipun wujud kebimbangan mengenai privasi, pengumpulan data telah bertumpu di satu pusat namun pengguna tetap tidak diketahui dan maklumat mereka dihapuskan secara automatik selepas 30 hari.

Menteri Kesihatan Bent Hoie berkata aplikasi itu mematuhi peraturan Eropah mengenai perlindungan data. – AFP

Seorang lelaki memegang telefon pintar yang menunjukkan aplikasi penjejak yang dilancarkan oleh Institut Kesihatan Awam Nasional untuk menghalang koronavirus daripada kembali di Oslo kelmarin. – AFP