Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Norway pasang panel solar di Svalbard

    KAPP LINNE, NORWAY, 19 SEPT – Norway telah melaksanakan projek perintis dengan memasang panel solar di kepulauan Svalbard, kawasan yang diliputi kegelapan sepanjang musim sejuk, dengan harapan membantu komuniti terpencil di Arktik untuk beralih kepada tenaga hijau.

    Sebanyak 360 panel solar telah dipasang dengan teratur dalam enam baris di sebuah padang dan mulai Khamis ini, ia akan menyediakan elektrik kepada sebuah bekas stesen radio pelayaran lama, Isfjord Radio, yang kini diubahsuai menjadi kem asas untuk pelancong.

    Kepulauan berangin itu, juga dikenali sebagai Spitsbergen, terletak kira-kira 1,300 kilometer dari Kutub Utara dan hanya boleh diakses melalui bot atau helikopter, sekiranya cuaca mengizinkan.

    “Pasangan panel solar ini merupakan sistem PV (fotovoltan) dipasang di tanah yang paling utara di dunia,” kata Mons Ole Sellevold, penasihat teknikal tenaga boleh baharu di kumpulan tenaga milik kerajaan Store Norske, kepada AFP.

    “Ini merupakan kali pertama projek sebegini dilaksanakan dalam skala ini di Arktik,” katanya sambil memegang senapangnya, bersiap sedia jika beruang kutub muncul, kejadian yang tidak asing di latitud itu.

    Selain daripada itu, terdapat 100 panel solar lagi yang dipasang di atas bumbung stesen radio, yang sebelum ini menggunakan jentera diesel dan dijangka dapat menyediakan kira-kira separuh daripada keperluan elektrik tapak itu serta mengurangkan jumlah pelepasan CO2.

    Pada musim panas, kawasan itu menerima cahaya matahari penuh dengan ‘matahari tengah malam’ yang tidak pernah terbenam.

    Panel solar itu juga mendapat manfaat daripada kesan albedo, iaitu daya pantulan salji dan ais serta suhu rendah yang meningkatkan kecekapannya. – AFP

    Foto dari udara bertarikh 14 September ini menunjukkan 360 panel solar dipasang di Kapp Linne, di Pulau Arktik Norway di Svalbard. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda