Norwich benam Spurs, Dier mengamuk dengan peminat

LONDON, 5 MAC – Pengurus Tottenham, Jose Mourinho mempertahankan Eric Dier selepas pemain antarabangsa England itu mengamuk menyerbu ke tempat duduk peminat ketika pasukannya tewas dan tersingkir dari Piala FA selepas menentang Norwich semalam.

Dier memanjat naik kerusi tempat duduk penyokong untuk menghadap dan memarahi peminat, yang didakwa terlibat dalam pertengkaran dengan saudara pemain itu.

Kejadian malam itu memburukkan lagi keadaan buat Tottenham, yang menyaksikan satu lagi peluang terlepas untuk memenangi trofi dengan kekalahan 3-2 melalui penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 menentang Norwich.

“Apabila seseorang menghina dan keluarga anda berada di sana dan keluarga anda terlibat dengan seseorang yang menghina anda, iaitu adik lelaki Dier dalam kes itu, saya fikir beliau tidak profesional, tetapi saya ulangi, mungkin semua orang akan lakukan yang sama,” kata Mourinho.

“Saya bersama pemain saya dan saya faham akan pemain saya.”

Reaksi Eric Dier, memeluk rakan sepasukannya Gedson Fernandes ketika tamat perlawanan pusingan ke-5 Piala FA antara Tottenham Hotspur dan Norwich City di Stadium Tottenham Hotspur, London, 4 Mac, 2020. – AP

Dier menjaringkan gol melalui penentuan sepakan penalti, tetapi Erik Lamela, Troy Parrott dan Gedson Fernandes gagal menjaringkan gol dan itu kekalahan keempat berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.

Mengenai prospek kelab yang akan mengambil tindakan disiplin terhadap Dier, Mourinho menambah: “Jika kelab melakukannya, saya tidak akan bersetuju, tetapi dia melakukan kesalahan.”

Kedua-dua pasukan nampak letih dalam masa tambahan, tetapi tidak dapat mencari peluang untuk mendahului perlawanan dan Mourinho menyalahkan ketiadaan Harry Kane dan Son Heung-min yang masih dalam kecederaan adalah punca kekalahan mereka.

“Beberapa pemain saya benar-benar mengalami masalah dan mereka berusaha sedaya upaya untuk mencuba,” jelas Mourinho.

Norwich akan menjadi tuan rumah pada suku akhir pertama perlawanan sama ada menentang Derby atau Manchester United. – AFP