Norwich berpesta gol benam Terriers

LONDON, 7 APRIL – Pendahulu Liga Kejuaraan, Norwich semakin hampir untuk naik ke Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Huddersfield 7-0, hari ini dengan Teemu Pukki meledak hatrik.

Skuad bimbingan Daniel Farke hanya memerlukan lima mata lagi daripada baki enam perlawanan untuk kembali ke Liga Perdana selepas tersingkir pada musim lalu.

Norwich boleh mengesahkannya seawal Sabtu ini jika melakar kemenangan di Derby dan keputusan lain memihak kepada mereka.

Norwich meledak lima gol pada separuh masa pertama di Carrow Road dengan Teemu menjaringkan dua gol manakala Emi Buendia, Todd Cantwell dan Kieran Dowell masing-masing menjaringkan satu gol.

Teemu yang juga penyerang Finland meledak hatrik pada separuh masa kedua selepas menyempurnakan sepakan penalti sebelum pemain gantian, Jordan Hugill melengkapkan kemenangan Norwich.

Kemenangan terbesar Norwich musim ini menyaksikan mereka berkelebihan lapan mata berbanding Watford di tempat kedua dan lebih 17 mata berbanding pasukan ketiga liga, Brentford.

Pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan pertama dan kedua liga secara automatik akan naik ke Liga Perdana manakala empat kelab lain akan beraksi pada saingan playoff.

Sementara Brentford terus mundur ketika Birmingham meningkatkan harapan mereka dengan mengikat keputusan seri 0-0 pada perlawanan di Brentford Community.

Brentford ketinggalan sembilan mata di belakang Watford, sementara Birmingham melonjak tujuh mata dalam zon penyingkiran. – AFP

Aksi pemain Norwich, Teemu ketika meraikan jaringan selepas mencetak gol pada perlawanan menentang Huddersfield, kelmarin. – Agensi