Norwich City kembali ke EPL

LONDON, 18 APRIL – Norwich City (gambar) kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan meskipun tewas 1-3 kepada Bournemouth semalam selepas Swansea dan Brentford hanya sekadar seri di perlawanan Liga Kejuaraan.

Skuad kendalian Daniel Farke menguasai liga divisyen dua itu dengan 27 kemenangan dalam 42 perlawanan setakat ini, membolehkan mereka kembali ke EPL selepas tersingkir musim lalu.

The Canaries mengalami kekalahan keenam mereka musim ini selepas Dimitrios Giannoulis dilayangkan kad merah di awal aksi minit ke-17 di Stadium Carrow Road.

Emi Buendia membuka jaringan buat tuan rumah sebelum rakan pasukan diarah keluar padang namun Bournemouth memanfaatkan kelebihan untuk merebut tempat dalam aksi playoff.

Jaringan babak kedua daripada Sam Surridge, Arnaut Danjuma dan Lloyd Kelly merapatkan jurang antara Cherries yang berada di tangga kelima, kepada hanya lapan mata dengan Watford di tangga kedua.

“Ia bukan tugas mudah untuk bangkit segera selepas tersingkir dan hari ini kami mampu melakukannya,” kata pemain tengah Norwich Todd Cantwell.

“Amat mengecewakan petang ini. Keputusan kontroversi dan beberapa gol kontroversi namun kami masih boleh pulang dengan tersenyum bila mengetahui akan beraksi di Liga Perdana Inggeris.”

Promosi Norwich ke EPL dijamin setelah Swansea di tempat ketiga diikat seri 2-2 menentang Wycombe, sementara Brentford di tempat keempat seri 0-0 dengan Millwall.

Pasukan Farke berada 14 mata di atas Swansea, yang masih tinggal empat perlawanan dan 16 mata di atas Brentford, yang masih memiliki lima perlawanan.

Mereka juga ketinggalan lapan mata dari Watford, yang tewas 1-0 pada saingan tempatan Luton pada hari Sabtu.

Swansea terpaksa kembali bangkit dari dua gol ketinggalan untuk memastikan harapan mereka yang tipis mencabar Watford untuk promosi automatik ke EPL. – AFP