Norwich pecat Daniel Farke walaupun menang

LONDON, 7 NOV – Norwich memecat pengurus, Daniel Farke kelmarin, beberapa jam selepas mereka menewaskan Brentford untuk mencatat kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Pengurus Jerman berusia 45 tahun itu mengalami tekanan yang semakin meningkat selepas pasukan Canaries itu gagal memenangi mana-mana daripada 10 perlawanan pembukaan mereka ketika mereka kembali ke EPL.

“Dalam usaha berterusan menuntut yang terbaik untuk kelab bola sepak kami, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah,” kata pengarah sukan, Stuart Webber dalam satu kenyataan.

Dia menambah: “Adalah penting untuk kami melihat ke hadapan. Kami mempunyai baki 27 perlawanan liga dan masih jauh untuk mengharungi musim ini. Kami tahu kami mempunyai skuad dan kakitangan berkemampuan untuk mengutip mata dan mendaki liga.”

Walaupun menang 2-1 kelmarin, hasil jaringan Mathias Normann dan Teemu Pukki, pasukan Canaries kekal di tangga terbawah EPL dengan lima mata daripada 11 perlawanan. – AFP