Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
PENULIS masih ingat ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada zaman dahulu, walaupun ianya sudah lama berlalu, di mana cara berpakaian dan berfesyen pada ketika itu sememangnya jauh berbeza daripada zaman sekarang.
Kaum wanita pada zaman dahulu suka memakai baju Kebaya, manakala kanak-kanak lelaki pula suka memakai baju kemeja berlengan pendek dan berseluar pendek. Sementara kanak-kanak perempuan pada ketika itu suka mengenakan baju kurung tanpa memakai tudung.
Bagi remaja-remaja perempuan pula, semasa Hari Raya, mereka suka memakai baju kebaya, kain sarung corak batik Jawa, bergelang dan berantai emas serta beranting-anting sebagai perhiasan diri. Kaum ibu dan bapa pada masa itu tidak membenarkan anak-anak mereka berambut keriting. Mereka suka melihat anak-anak mereka berambut panjang bertocang atau diikat dengan kain agar tidak terurai. Mereka juga digalakkan untuk berminyak wangi, berbedak muka dan bergincu warna merah.



Kenangan Sambutan Hari Raya sekitar tahun 1950an masih segar terbayang dalam ingatan penulis sehingga sekarang di mana hiburan anak-anak muda pada masa itu adalah memainkan peti menyanyi, sambil berkumpul beramai-ramai dan bergelak ketawa di dalam rumah bersama dengan rakan-rakan mereka sambil dihidangkan pelbagai jenis makanan dan minuman. Jenis hidangan yang sangat disukai ketika Sambutan Hari Raya pada zaman itu ialah kuih Kelupis, Wajid, ketupat, kopi dan teh serta banyak lagi. Semuanya dihidangkan dan diaturkan di atas talam sambil duduk di atas tikar getah, lampit dan bengkuang sambil berkumpul beramai-ramai bersama ibu bapa, datuk nenek dan juga kaum keluarga.
Kini, Sambutan Hari Raya sudah tidak sama seperti dahulu. Suasana sambutan pa da zaman dahulu penuh dan kaya dengan adat, sopan santun dan hormat menghormati, terutama sekali anak-anak mudanya.