Note10 dan Note10+ kini di Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Samsung Galaxy Note10 dan Note10+ secara rasminya memasuki pasaran Brunei, hari ini, dengan majlis pelancaran yang diadakan oleh DSTIncomm di Samsung Experience Store, Gadong.

Pelancaran dua model telefon pintar kemegahan terbaharu Samsung itu telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni selaku tetamu kehormat majlis dengan disaksikan para tetamu khas, pelanggan utama serta warga pengurusan dan kakitangan kanan DST.

Siri Samsung Galaxy Note10 tersedia di semua kedai DSTIncomm dengan harga berbeza mengikut model, spesifikasi dan storan. Sebelum pelancaran, DSTIncomm telah membuka tempahan awal untuk orang ramai membeli Samsung Galaxy Note 10 dan Note 10+ dengan sebanyak 60 Samsung baharu telah diserahkan hari ini.

Menurut kenyataan DST, buat pertama kalinya, Samsung memperkenalkan siri Samsung Galaxy Note dalam dua saiz, dengan paparan 6.3 inci bagi Note 10 dan 6.8 inci bagi Note10+.

Note10 direka untuk memberikan pengalaman mudah alih yang terasa seperti komputer, konsol permainan, kamera berteknologi filem dan pen pintar, semuanya dalam satu peranti.

Radin Sufri ketika menunjukkan telefon pintar terbaharu Samsung, Note10 dan Note10+ pada majlis pelancarannya, kelmarin.
Para jemputan mencuba telefon pintar baharu Samsung, Note10 dan Note10+ pada majlis tersebut.

Kenyataan menambah, kedua-dua peranti mempunyai paparan AMDLED Infinity-O yang mengagumkan, jelas, terang dan elegan. Dengan sensor jari Ultrasonik Samsung, pengguna akan dapat membuka kunci telefon hanya dengan mengetik pada skrin.

Bukan itu sahaja, Note10 dilengkapi dengan S-Pen terkenal Samsung yang didatangkan dengan lebih banyak ciri termasuk fungsi sebagai alat kawalan jauh, lakaran dalam realiti tambahan dan bahkan menukar nota tulisan tangan menjadi teks.

Lebih daripada hanya mengambil gambar dan video yang menakjubkan, Samsung telah menambah baik tiga kamera belakang terutama pada Note10+ yang mempunyai DepthVision, di mana pengguna mempunyai lebih banyak kawalan manual terhadap subjek.

Dengan ciri-ciri baharu, hayat bateri Samsung sangat luar biasa kerana ia dapat menyokong prestasi telefon dengan pengecasan 25W super cepat dan pengguna juga boleh mengecas peranti dengan telefon lain menggunakan Wireless PowerShare.

Sebahagian daripada kempen promosi, pemegang Kad Standard Chartered juga berpeluang menikmati diskaun $100 apabila membeli telefon baharu menggunakan kad kredit visa atau Easypay, sementara pelan bayaran bulanan juga tersedia untuk At-Tamwil Bank Islam Brunei Darussalam.