Noul: Vietnam rancang pindah sejuta orang

HANOI, 17 SEPT – Vietnam merancang untuk memindahkan lebih sejuta orang ketika ribut tropika teruk membadai rantau pesisir tengahnya, menimbulkan ancaman banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa hari ini.

Ribut Tropika Noul diramalkan mendarat sekitar 1 petang (0600 GMT) esok di tengah wilayah Thua Thien Hue, membawa kelajuan angin sekitar 110kmsj, menurut Balai Cerap Hong Kong.

Sekitar 1.17 juta orang di seluruh tiga wilayah serta bandar Danang akan diminta untuk meninggalkan rumah, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam.

Pantai-pantai di Danang dan pusat pelancongan Hue – bandar imperial lama Vietnam – telah ditutup, sementara sekolah-sekolah di seluruh wilayah tengah perlu ditutup esok.

Unit pengawal sempadan dan pasukan tentera akan mengerahkan lebih 250,000 pegawai untuk membantu warga tempatan serta menolong misi pencarian dan penyelamatan, kata media kerajaan.

Kawasan-kawasan tengah akan dibadai oleh angin kira-kira 400mm bermula lewat Khamis hingga Jumaat, kata peramal kaji cuaca, memberi amaran banjir di kawasan bandar dan tanah runtuh di pergunungan. Hujan turun sekitar 180mm sehari dianggap sangat lebat, kata mereka.

Vietnam secara rutinnya dilanda ribut tropika dari Mei hingga Oktober dengan pantai tengah sering terjejas.

Sekitar 68 orang dilaporkan maut atau hilang dalam bencana negara tahun ini, menurut Pejabat Statistik Awam. – AFP