Nourul Wahab diugut santau

Tindakan penyanyi Nourul Wahab berkongsi paparan skrin mesej berbaur ugutan daripada individu yang tidak kenali pada Sabtu lalu mengejutkan ramai pihak terutama pengikutnya di Instagram.

Nourul, 41, menjelaskan tujuan dia berkongsi mesej tersebut di media sosial kerana terlalu terkejut dan sedih memikirkan kesilapan yang mungkin dilakukannya sehingga menerima ugutan sebegitu.

Bagaimanapun pemilik nama Nourul Huda Abdul Wahab ini sedia memaafkan individu tersebut sekiranya ia dilakukan atas tujuan untuk bergurau atau prank.

“Semua orang terkejut apabila kongsikan mesej orang nak santau saya tu.

“Saya kongsi benda tu dalam keadaan terkejut dan sedih. Kadang-kadang terfikir apa salah saya dekat orang.

“Maafkan kalau tak gembira dengan saya… tapi janganlah ugut saya. Ramai tanya dan risau soal saya kena ugut tu. Andai yang hantar mesej itu hanya prank, saya maafkan.

Nourul Wahab terima mesej berbaur ugutan daripada individu yang tidak kenali. – Agensi

“Andai kata tidak prank dan anda tak gembira akan sesuatu, kalau perlukan bantuan daripada segi emosi dan psikologi, beritahu saya… Insya Allah saya bantu.

“Apa-apa pun Tuhan itu wujud. Saya yakin akan Dia. Dia akan menjaga dan melindungi,” kata Nourul menerusi video yang dimuat naik di Instagram pada Khamis.

Sebelum ini Nourul memuat naik paparan skrin mesej individu tersebut yang mendakwa ingin melakukan sihir kepadanya di Instagram

Menerusi mesej tersebut individu itu berkenaan nekad untuk melakukan perkara tidak baik itu terhadap Nourul pada bila-bila masa saja.

“Kau ingat ni, kau tunggu bila-bila masa aku boleh upah bomoh untuk santau kau. Ini bukan benda main-main aku serius. Aku akan buat santau kau.

“Jangan senang-lenang sangat. Aku tak kisah kau artis ke, kau raja mana-mana negeri ke, ini aku pesan kat kau,” tulis individu tersebut.

Selain Nourul, pelakon Syafie Naswip juga pernah menerima mesej berbaur ugutan seperti itu dan membuat laporan polis mengenainya.

Dalam pada itu, Nourul berpendapat individu itu berkemungkinan berdepan masalah mental atau hanya mahukan perhatian memandangkan selebriti lain juga menerima mesej yang sama.

Bimbang dengan keadaan tersebut, penyanyi lagu Dan Kini ini memberanikan diri untuk membantu tanpa mendedahkan identiti individu itu.

“Saya tak nak cakap lebih tapi mungkin orang yang hantar mesej itu ada masalah mental atau masalah lain seperti tengah sedih atau dia perlukan perhatian.

“Ada followers saya beritahu yang dia juga ada hantar mesej yang sama kepada artis lain.

“Saya pun tak pasti sebab followers yang beritahu. Saya rasa dia ada masalah.

“Kasihan… sebab itu nak bantu dia daripada segi mental dan hati dia. Kalau betul dia tak happy, rasa terperangkap atau marah, beritahu dekat saya dan saya tak kan dedah identiti anda,” ujarnya. – Agensi