Novartis bayar AS$642 juta selesai kes rasuah

WASHINGTON, 2 JULAI – Syarikat gergasi farmaseutikal Swiss Novartis telah bersetuju untuk membayar lebih daripada AS$642 juta untuk menyelesaikan satu tindakan guaman yang menuduhnya membayar sogokan kepada doktor, kata Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Sebahagian daripada penyelesaian adalah penggunaan tiga yayasan syarikat yang menyalurkan bayaran untuk menutup kos untuk pesakit yang mengambil ubat sklerosis berbilang Gilenya dan ubat kanser buah pinggang Afinitor. Satu bahagian lagi menumpu pada dakwaan merasuah doktor untuk memberikan preskripsi ubat syarikat.

“Menerusi penyelesaian ini, kerajaan telah menunjukkan komitmennya untuk memastikan syarikat ubat tidak menggunakan rasuah untuk mempengaruhi preskripsi ubat oleh doktor atau pembelian pesakit,” kata Penolong Peguam Negara Jody Hunt.

Novartis dituduh menganjurkan puluhan ribu program ceramah dan acara yang dikatakan oleh Jabatan Keadilan digunakan untuk merasuah doktor. Dalam satu contoh, syarikat memilih doktor yang telah pun memberi preskripsi sejumlah besar ubat Novartis untuk menjadi penceramah berbayar, sebagai satu cara untuk mendorong mereka untuk meneruskan penulisan atau menulis lebih banyak preskripsi. – AFP