Novel: Semua pintu masuk Sabah dipantau

KOTA KINABALU, 24 JAN – Semua pintu masuk antarabangsa Sabah khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), akan dipantau dengan rapi bagi mengelakkan penularan penyakit Novel Koronavirus (nCoV).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata pemantauan yang dilakukan adalah saringan suhu badan menggunakan pengimbas terma dan pemberian Kad Amaran Kesihatan kepada semua penumpang dari Wuhan, China.

“Jumlah saringan yang telah dilakukan sejak 5 sehingga 23 Januari 2020 melibatkan 4,003 penumpang dan kru yang telah menaiki penerbangan terus dari Wuhan, China.

“Sehingga kini, tiada penumpang dan kru yang dikesan demam, semasa proses saringan di pintu ketibaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – Bernama