November 2018 berseri dengan pelbagai kegiatan

Oleh Nurdiyanah R.

PELBAGAI perkembangan di Negara Brunei Darussalam dapat disaksikan seawal November 2018 yang merangkumi pelbagai bidang seperti ekonomi, kesihatan, agama, pendidikan, teknologi, sosial dan sebagainya.

Jelapang padi baharu

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pembukaan projek Kawasan Kandol, Daerah Belait yang berkeluasan 500 hektar dan akan dilengkapi dengan infrastruktur yang bersesuaian bagi meningkatkan lagi pengeluaran padi dan beras negara pada 27 November lalu.

Baginda juga menegaskan bahawa bidang pertanian adalah bidang yang menentukan kelangsungan kita sebagai bangsa dan negara yang merdeka. Oleh kerana itu, tiada lagi alasan untuk kita masih memperlahankan langkah ke arah pertanian bahkan pertanian perlu diceburi oleh siapa saja dan ia tidaklah terbatas kepada mereka yang memiliki ratusan hektar tanah baharu bertanam, bahkan orang juga boleh bertanam di halaman rumah masing-masing atau di dalam pasu untuk menghasilkan seperti pepohon sayur dan lada umpamanya.

Dalam titah sempena Majlis Ilmu 2018 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menegaskan bahawa dengan memperkenankan inisiatif pertama projek penanaman benih padi hibrid varieti berhasil tinggi dikenali sebagai ‘Padi Sembada’ dan diikuti dengan benih ‘Padi Titih’ serta pembukaan kawasan baharu itu diharap akan dapat meningkatkan pengeluaran serta peraturan sara diri pengeluaran beras bagi Negara Brunei Darussalam.

Di samping itu, Baginda juga berharap agar para peladang dan petani tidak bosan-bosan mengusahakan perladangan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab, dedikasi dan berdisiplin demi survivabiliti bangsa dan negara.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah semasa perasmian Majlis Ilmu 2018 pada 27 November lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyaksikan Pameran Ringkas Pertanian semasa berlangsungnya Majlis Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2018 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 29 November lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani
Dr Haji Zulaidi bertukar dokumen dengan Dr S R E Sayampanathan selepas majlis penandatanganan MoU di Singapura pada 27 November lalu.
Tetamu kehormat semasa dibawa meninjau Pusat Ehsan dan menyaksikan aktiviti saringan penglihatan semasa berlangsungnya penubuhan Perkhidmatan Penjagaan Mata Berkeperluan Khas Brunei (BRU-SPECS) di Pusat Ehsan, Kampung Bengkurong pada 16 November lalu. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Orang ramai menyaksikan model-model baharu Mercedes-Benz CLS Coupe generasi ketiga, lebih sportif dan elegan; model CLS 350 dan model CLS 450 semasa acara pengenalan di Beribi pada 9 November lalu. – Gambar oleh Pg Fairol RMF
Sebahagian peserta kanak-kanak mengikuti aktiviti semasa berlangsungnya Program Tadabbur and Seerah For Kids di Surau Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong pada 18 November lalu. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

Wanita mampu memperkasa pertanian

Kaum wanita membekal lebih 50 peratus makanan dunia dan 43 peratus adalah dalam bidang pertanian dan di negara-negara ASEAN, Thailand dan Filipina mempunyai kaum wanita yang paling aktif dalam bidang pertanian. Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam kini mempunyai kira-kira 5,545 orang pengusaha yang mana 96 peratus daripadanya ialah pengusaha lelaki dan selebihnya pengusaha wanita.

Perkara ini telah disentuh oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman semasa menyampaikan ceramah perdana bertajuk ‘Wanita Sebagai Pendukung Aspirasi Negara Dalam Bidang Pertanian’ pada Majlis Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2018 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 29 November lalu.

Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

Menurut Profesor Dr Hajah Zohrah dalam kalangan pengusaha tempatan berkenaan, 65.9 peratus mempunyai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis tanaman, 12.4 peratus ternakan, 11.5 peratus tanaman hiasan dan 0.46 peratus pelbagai komoditi.

Dengan adanya ceramah perdana berkenaan diharap agar dapat mengubah persepsi kaum-kaum ibu, isteri, anak-anak yang mungkin belum mempunyai pekerjaan mengenai bidang pertanian sebagai kerjaya atau sumber pencarian ke arah yang lebih positif, agar sama-sama mendokong hasrat negara untuk menjadikan sektor pertanian sebagai survivabiliti bangsa dan negara.

CLS 350, 450 sportif, elegan

Model-model baharu Mercedes-Benz CLS Coupe generasi ketiga, lebih sportif dan elegan; model CLS 350 dan model CLS 450 telah diperkenalkan oleh Jati Transport Sdn Bhd semasa acara pengenalannya di Beribi pada 9 November lalu.

Model CLS 350 yang dikuasakan enjin 2.0 liter empat silinder sejajar dan mampu menghamburkan kuasa sehingga 299 kuasa kuda dengan 400Nm tork, manakala CLS 450 didatangkan dengan enjin 3.0 liter enam silinder sejajar 367 kuasa kuda dan 500Nm tork. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi sembilan kelajuan 9G-Tronic Automatik.

Manakala rekaan masih dikekalkan untuk memastikan ia bercirikan aerodinamik dengan perubahan dari segi lampu LED Multibeam Ultra Range yang tinggi. Selain itu, ia juga dipertingkatkan dengan EQ Boost dan Sistem Onboard Electrical 48 Volt yang memastikan penyaluran kuasa mantap dan mampu memecut masing-masingnya dalam masa 6 dan 4.8 saat, untuk mencapai kelajuan tertinggi 250kmsj.

Dari segi luarannya pula, CLS 350 dan CLS 450 tampak lebih sportif dengan apron depan AMG dan trim berwarna krom, gril radiator ala berlian dan pin krom serta rim aloi 5-twin Spoke AMG berukuran 19 inci. Manakala ruang dalam didatangkan dengan kecanggihan teknologi yang sering dikaitkan dengan kereta mewah Mercedes. Ia mempunyai skrin lebar 12.3 inci beresolusi tinggi yang memastikan maklumat digital dipancarkan bagi pemanduan, perubahan gaya pemanduan dan penetapan pendingin udara. Bagi tahap keselamatan pula, Active Brake Assist, bantuan lorong, bantuan stereng dan bantuan had kelajuan, perlindungan Pre-Safe serta bantuan grafik menyerlahkan keprihatinan Mercedes.

Kementerian Kesihatan tubuhkan BRU-SPECS

Kementerian Kesihatan telah menubuhkan perkhidmatan penjagaan mata khusus dinamakan Perkhidmatan Penjagaan Mata Berkeperluan Khas Brunei (BRU-SPECS) di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Kampung Bengkurong pada 16 November lalu iaitu dalam usaha bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan mata yang komprehensif bagi orang berkeperluan khas, Jabatan Oftalmologi.

Perasmian perkhidmatan berkenaan di pusat tersebut telah disempurnakan bersama oleh ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif selaku tetamu kehormat majlis dan Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab yang sekali gus mengadakan klinik saringan penglihatan bagi mengundang kanak-kanak dan golongan belia berkeperluan khas daripada semua organisasi bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) untuk menjalankan saringan penglihatan oleh kakitangan Jabatan Oftalmologi dari Pusat Mata, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan kes-kes yang mampu dirawat akan dirujuk ke perkhidmatan sub-pakar yang berkaitan di Pusat Mata untuk pemeriksaan lanjutan.

Dengan adanya penubuhan BRU-SPECS, ia bermatlamat bagi memenuhi keperluan pendekatan penjagaan kesihatan mata yang lebih holistik dan sepadu antara komuniti berkeperluan khas dan perkhidmatan kesihatan kerajaan serta organisasi-organisasi bukan kerajaan terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan belia berkeperluan khas yang masih lagi dalam alam persekolahan.

Semai kecintaan terhadap Islam

Bagi menghayati perjalanan hidup dan perjuangan Rasulullah SAW di samping memupuk rasa kecintaan kepada personaliti agung ikutan umat Islam, Program Tadabbur and Seerah For Kids telah diadakan di Surau Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Gadong pada 18 November lalu.

Program yang disertai lebih 180 orang kanak-kanak berusia empat hingga 11 tahun itu dijayakan bersama oleh para sukarelawan terdiri daripada pelajar UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), pusat tingkatan enam (PTE), lepasan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), sekolah menengah dan individu perseorangan serta ibu bapa dan keluarga mereka.

Program yang dikendalikan oleh Pengasas Bersama Tadabbur and Seerah For Kids, Dayang Widad binti Haji Abdul Aziz berkenaan merupakan edisi ke-12 semenjak diperkenalkan pada tahun 2016 bersempena bulan Rabiulawal lalu. Ianya telah diisikan dengan lantunan Qasidah serta aktiviti-aktiviti interaktif yang berkisar mengenai perjalanan hidup Rasulullah SAW. Di samping itu program berkenaan juga berkonsepkan empat prinsip asas yang efektif dalam mendekati dan mencintai Al-Quran buat setiap golongan muda dan dewasa iaitu faham, cinta, hadam dan amal Al-Quran.

Pamer hasil karya seni pelajar

Pameran seni, The Special Hands: Empowering Abilities telah menonjolkan kehebatan dan keindahan sebanyak 50 hasil karya seni oleh pelajar-pelajar istimewa Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) bertempat di Pusat Membeli-belah Mabohai pada 18 November lalu.

Pameran itu telah mengetengahkan hasil karya seni para pelajar pelbagai peringkat usia yang dibimbing dan dilatih oleh kakitangan pusat berkenaan yang mana ia dihasratkan untuk mempromosikan keupayaan pada pelajar menerusi kegiatan seni dan potensi mereka untuk mengamalkan kegiatan visual sepanjang hayat supaya mereka akan terlibat dalam kegiatan riadah produktif.

Selain daripada pameran seni itu, acara jualan kuih dan roti turut diadakan yang mengetengahkan kemahiran para pelajar membuat kuih dan roti dengan kerjasama Mr Baker, di mana kuih dan roti-roti berkenaan dijual untuk para pengunjung ke pameran itu.

Pameran seni dan jualan itu merupakan acara untuk mengutip dana dengan keseluruhan hasil daripada acara berkenaan akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan bagi menyokong kegiatan seharian pusat tersebut.

Kementerian Kesihatan rai Hari Kanak-kanak

Kementerian Kesihatan melalui Perkhidmatan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah meraikan Hari Kanak-kanak Sedunia 2018 dengan majlis sambutan yang diadakan di Klinik Pediatrik, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS pada 21 November lalu.

Sambutan berkenaan dibukakan kepada pesakit kanak-kanak dan ibu bapa serta penjaga mereka yang mana ia bermatlamat bagi menghiburkan kanak-kanak yang berdaftar di bawah Perkhidmatan Pediatrik dengan beberapa aktiviti yang telah dirancang seperti aktiviti mewarna, sesi bergambar dan hiburan bersama maskot-maskot, persembahan silap mata, melukis muka dan penyampaian hamper kepada pesakit kanak-kanak di Klinik Pediatrik. Ia diharap akan dapat memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memelihara hak dan masa depan kanak-kanak, di samping memastikan mereka dapat berkembang menjadi orang dewasa yang sihat dan bahagia.

Hari Kanak-kanak Sedunia disambut pada setiap 20 November setelah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1954 dan ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap hal ehwal kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia.

Pesta Sains promosi pendidikan STEM

Berlangsungnya Pesta Sains di Taman Permainan Jerudong Park pada 23 November lalu anjuran Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) menerusi Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) bukan sahaja merupakan usaha untuk mempromosikan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) tetapi ia merupakan pendekatan informal yang diharap dapat memberikan inspirasi serta merubah pemikiran golongan muda mengenai STEM.

Pelbagai aktiviti menarik, pertandingan, bengkel dan pertunjukan sains diadakan seperti Galaxy Goo, Kitchen Science dan pertandingan Robota Robotix diketengahkan oleh OGDC. Ia juga mengetengahkan pameran menarik terbaharunya, Siuknya Sains di mana pameran itu dibahagikan kepada tiga topik sains yang berbeza iaitu cahaya dan bunyi, bahan serta jenis-jenis kuasa dengan sebanyak kira-kira 30 pameran interaktif menarik.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian pesta berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, Pengarah Komersial Syarikat BSP Sdn Bhd, Hajah Farida binti Dato Paduka Talip, para pegawai kanan kerajaan, jemputan daripada institusi pengajian tinggi, BSP, guru-guru dan para pelajar sekolah.

MoU bidang kesihatan dimeterai

Kementerian Kesihatan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama dengan Academy of Medicine, Singapura dalam satu majlis yang diadakan di Singapura pada 27 November lalu yang mana ia merupakan satu rangka kerja bagi kerjasama dalam bidang kesihatan terutamanya bagi latihan kepakaran kedoktoran dalam bidang-bidang perubatan dan pergigian.

Menandatangani MoU bagi wakil kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan bagi pihak Academy of Medicine, Dr S R E Sayampanathan, Master, Academy of Medicine, Singapura.

Latihan kepakaran tersebut akan dikelolakan pihak akademi dengan penganugerahan Fellowship of the Academy of Medicine, Singapura (FAMS). Melalui MoU ini, latihan tersebut dibukakan kepada doktor-doktor tempatan yang telah berjaya menamatkan Basic Specialty Training di bidang kepakaran tertentu di Negara Brunei Darussalam.

Kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang latihan kedoktoran telah berjaya menghasilkan pakar-pakar perubatan dan pembedahan tempatan di pelbagai bidang seperti seperti endokrinologi, kardiologi, neurologi, pembedahan neurosurgeri, hematologi, pembedahan umum, infectious disease, obstetrik ginekologi, gastroenterologi, pembedahan cardiothoracic, perubatan kecemasan, pediatrik onkologi, pembedahan pediatrik, psikiatri, urologi, patologi, dermatologi dan oftalmologi.