NTSB siasat punca letupan gas asli

SAN FRANCISCO, 8 Feb – Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebang-saan (NTSB) akan menyiasat kejadian letupan gas asli di San Francisco yang menyaksikan api menjulang di ruang udara selama beberapa jam dan merosakkan lima buah bangunan, menurut seorang pegawai semalam.

Sebuah pasukan yang terdiri daripada lapan orang tiba di San Francisco malam semalam untuk memulakan proses panjang mengumpul bukti dan cuba memastikan apa yang telah berlaku, menurut jurucakap Eric Weiss.

Agensi persekutuan kerap menyiasat kejadian-kejadian letupan saluran-saluran paip kerana mereka menghantar minyak dan gas asli, yang mereka selia.

“Kami bukan hanya akan menyiasat apa yang telah berlaku tetapi mengapa ia berlaku dan menyiasat jika ada sebarang pengajaran bagi keselamatan akan datang,” ujar Weiss.

Agensi keselamatan tempat kerja California, Cal/OSHA juga menyiasat.

NTSB akan menyiasat kejadian letupan gas asli di San Francisco yang menyaksikan api menjulang di ruang udara selama beberapa jam dan merosakkan lima buah bangunan. – AP

Kru pembinaan swasta yang melakukan kerja penggalian di jalan raya untuk memasang wayar optik gentian memotong saluran gas asli, yang mengakibatkan kebakaran pada Rabu lalu, menurut ketua bomba Joanne Hayes-White.

Bagaimanapun Weiss memberi amaran mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau malah bertahun-tahun sebelum NTSB mengeluarkan penetapan rasmi tentang kemungkinan puncanya. Tidak sesiapa mengalami kecederaan, akan tetapi api menjulang naik melepasi bumbung bangunan tiga tingkat dan menyala selama lebih dua jam sehingga para pekerja Pacific Gas & Electric (PG&E) berjaya menutup gas yang memarakkan api. Sesetengah pihak mempersoalkan mengapa mengambil masa begitu lama untuk berbuat demikian.

Undang-undang negeri memerlukan kru-kru untuk menggali dengan tangan sekitar beberapa talian paip lain sebelum mereka akhirnya dapat ‘menekan’ saluran plastik sepanjang 10 sentimeter, menurut jurucakap PG&E, Melissa Subbotin.

Disebabkan api dikawal di kawasan terhad, pasukan itu mengatakan ia terpaksa menilai ancaman dari api itu dengan risiko tindakan lebih drastik pada hari sejuk di San Francisco. Para pegawai memilih untuk tidak dengan cepat menutup saluran penghantaran besar itu seperti yang mereka lakukan ketika berlaku gempa bumi, ujar Subbotin lagi.

“Jika mereka menutup sistem penghantaran gas, kami akan menutup penghantaran gas ke seluruh bandar San Francisco,” katanya lagi. “Matlamat ialah untuk menutup gas dengan selamat dan secepat mungkin.”

Pasukan itu berdepan penelitian yang ditingkatkan ke atas saluran paip gas aslinya selepas satu saluran meletup di kawasan berhampiran selatan San Francisco pada tahun 2010, membunuh lapan orang, dan menghapuskan kawasan di pinggir bandar San Bruno. – AP