TOKYO, 21 SEPT – Studio Ghibli, firma animasi Jepun terkenal milik Hayao Miyazaki, berkata hari ini bahawa ia akan diambil alih oleh penyiar swasta Nippon TV (NTV) atas alasan usianya yang sudah tua.
Miyazaki, yang dianggap sebagai salah seorang juruanimasi terhebat di dunia, telah menubuhkan Studio Ghibli pada tahun 1985 dan ia terkenal dengan filem Spirited Away yang memenangi Oscar serta My Neighbour Totoro yang popular dalam kalangan peminat.
Kini, Miyazaki berusia 82 tahun dan penerbit utama studio itu berusia 75 tahun.
“Kami telah lama bergelut dengan soalan tentang siapa yang akan menjadi waris,” kata Studio Ghibli dalam kenyataan bersama dengan NTV.
Anak lelaki Miyazaki dan pengarah anime, Goro, telah berkali-kali dicadangkan sebagai waris.
Tetapi beliau telah ‘menolak dengan tegas’ idea itu kerana “sukar untuk memikul beban Ghibli seorang diri”, menurut kenyataan itu.
Ia mendorong studio mencari calon lain untuk menguruskan pengurusan perniagaan.
“Atas latar belakang itulah rundingan bermula antara Studio Ghibli dan Nippon TV,” kata kenyataan.
NTV menggambarkan Ghibli sebagai studio yang ‘boleh kita banggakan di hadapan dunia’ dan berkata pengaruhnya akan dihormati selepas pengambilalihan.
Penyiar itu mengatakan ia akan mendapatkan 42.3 peratus hak mengundi dalam studio tersebut, yang akan menjadi subsidiarinya.
Ghibli dan NTV tidak mendedahkan butiran kewangan perjanjian tersebut, di mana Miyazaki akan menjadi pengerusi utamanya. Eksekutif utama NTV akan memegang jawatan penting di Ghibli. – AFP