Sunday, December 4, 2022
25.9 C
Brunei

-

‘Nuan Nuan’ dijangka ‘pulang’ ke China sebelum November

KUALA LUMPUR, 25 Julai – ‘Nuan Nuan’, anak panda gergasi pertama yang lahir di Zoo Negara di sini bakal menyambut ulang tahun keduanya pada 18 Ogos ini, sekali gus bermakna ia akan meninggalkan bumi Malaysia dan ‘pulang’ ke Chengdu, China tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata ini berdasarkan perjanjian antara Malaysia dan China iaitu anak panda tersebut perlu dihantar pulang ke republik itu selepas berusia dua tahun.

“Kami sedang menunggu arahan daripada kerajaan China untuk menjadualkan pemulangan anak panda Nuan Nuan yang dijangka selewat-lewatnya sebelum November ini.

“Ini kerana apabila tiba November, China akan memasuki musim sejuk dan Nuan Nuan mungkin tidak boleh menyesuaikan diri dengan keadaan sejuk kerana ia membesar di Malaysia yang tidak mempunyai salji,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gambar fail Nuan Nuan bersama ibunya pada tahun 2016. – Sumber Internet
Gambar fail Nuan Nuan bersama ibunya pada tahun 2016. – Sumber Internet

Rosly berkata buat masa ini orang ramai masih boleh mengunjungi anak panda betina itu serta ibu dan bapanya ‘Liang Liang’ dan ‘Xing Xing’ di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara.

Beliau berkata Nuan Nuan kini diasingkan daripada ibunya Liang Liang bagi membolehkan anak panda itu menyesuaikan diri hidup berdikari.

“Nuan Nuan sudah tidak bergantung kepada penyusuan ibunya sejak beberapa bulan lalu bagi tujuan itu,” katanya menambah keluarga panda gergasi tersebut berada dalam keadaan sihat.

Rosly berkata pihaknya akan mengadakan sambutan hari jadi untuk Nuan Nuan serta Xing Xing dan Liang Liang pada 18 dan 23 Ogos ini.– Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -