Nubhan bebas COVID-19

Penyanyi Nubhan Ahamad, 35, mengesahkan dijangkiti COVID-19 pada 16 September lalu, namun, kini sudah bebas sepenuhnya daripada pandemik itu.

Penyanyi lagu Ada Untukmu itu berkongsi berita dijangkiti COVID-19 menerusi laman Instagram. Nubhan berkata, dia bersyukur isteri yang kini hamil anak ketiga dan dua cahaya mata, Aafiya Kamilia dan Ahmad Aaffan bebas jangkitan.

“Saya menjalani kuarantin dan rawatan di pusat kuarantin swasta di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur selama 10 hari.

“Alhamdulillah, saya potong gelang merah jambu yang menandakan bebas daripada wabak berkenaan pada 26 September lalu.

“Ini kali pertama saya mendapat jangkitan COVID-19. Saya mengalami beberapa simptom seperti sakit kepala, badan seram sejuk, hilang deria rasa dan bau.

Nubhan mengesahkan dirinya kini sudah bebas sepenuhnya daripada COVID-19. – Agensi

“Bagaimanapun, saya bersyukur berjaya mengharunginya, namun, agak sukar apabila berjauhan dengan keluarga. Saya sedaya upaya mengelak daripada jangkitan, namun malang tidak berbau,” katanya kepada media.

Penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkongsi, dia sudah lengkap dua dos suntikan vaksinasi kira-kira dua bulan lalu.

“Doktor memberitahu, sesiapa sahaja boleh terkena jangkitan COVID-19 walaupun sudah lengkap dua dos vaksinasi, cuma sama ada menunjukkan simptom atau sebaliknya.

“Benar, kita perlu mendapat suntikan vaksin sebagai salah satu ikhtiar.

“Jadi, apapun kena terus jaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, kakaknya, Faizah Ahamad dan abang ipar, Mohd Nor Hussin disahkan positif COVID-19 pada 2 Ogos lalu.

Ketika itu, Nubhan dan isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek mengambil inisiatif menjaga empat anak saudaranya sepanjang tempoh kakak dan abang iparnya menjalani rawatan. – Agensi