Nubhan nafi guna gimik untuk popular

Penyanyi Ada Untukmu, Nubhan Ahamad, 34, menafikan terpaksa melakukan gimik kehilangan kereta bagi melonjakkan semula namanya yang dikatakan ‘sendu’.

Selain sendu, Nubhan didakwa sengaja membuat gimik untuk menarik perhatian sebagai salah satu strategi pemasaran mempromosikan produk terbaharu keluaran isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek.

Bekas penuntut Akademi Fantasia musim ke-6 itu berkata, dia tidak faham dirinya dilabel ‘sendu’ sedangkan namanya sedang berada di puncak populariti ketika mengambil keputusan me-ninggalkan dunia nyanyian.

Nubhan berkata, dia tidak menang tangan menerima tawaran nyanyian ketika itu, namun terpaksa membuat pilihan tepat demi masa depan lebih baik.

“Saya sedar sekian lama tidak wujud dalam industri hiburan secara serius. Saya tak pernah minta untuk diingati, sebaliknya gimik mengenakan isteri dilakukan mahu mencipta satu memori yang sukar dilupakan, sempena ulang tahun kelima perkahwinan kami.

Nubhan Ahamad dan isterinya, Dr Afifah Hidayah Tawfek dikurniakan dua cahaya mata, Aafiya Kamilia dan Ahmad Aafan. – Agensi

“Saya tak perlukan gimik untuk melonjakkan perniagaan. Selama tujuh tahun mengusahakan perniagaan produk kecantikan, tak pernah saya buat gimik untuk menarik perhatian pembeli.”

“Memang tujuan saya hanya untuk membuat kejutan kepada isteri kerana dia pernah meluahkan hasrat memiliki kereta mewah berkenaan.

“Secara kebetulan, kami bakal meraikan ulang tahun perkahwinan, jadi saya kira inilah masa sesuai buat kejutan bagi menghargai isteri yang sanggup bersusah senang dengan saya,” katanya.

Mengulas kekasaran dengan menunjal kepala isterinya, penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak sengaja berbuat demikian kerana terlalu menghayati watak bagi memanaskan hati isterinya.

Bagaimanapun, katanya, melihat isteri tenang dengan berita kehilangan kereta membuatkannya terpaksa bersikap lebih agresif.

“Selepas menonton kembali video berkenaan, saya sendiri terkejut melihat pelakuan yang melampau hingga kelihatan menunjal kepala isteri.

“Realitinya, saya tidak pernah berkasar dengan isteri. Budaya kekerasan tidak wujud dalam keluarga saya. Tujuan saya hanya mahu menghidupkan watak,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Dr Afifah pada Ogos 2015.

Ditanya tidakkah mahu kembali menyanyi, Nubhan kali terakhir merakamkan single berjudul Tak Tahan, tahun lalu, tidak mempunyai perancangan kembali. Ini kerana mahu memberi tumpuan kepada produk baharu keluaran isterinya.

“Setakat ini, belum ada perancangan, tetapi jika ada karya bagus, Insya-Allah saya tidak ada menolak,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata, Aafiya Kamilia, 3, dan Ahmad Aafan, 2. – Agensi