Nuggets bangkit tewaskan Raptors

LOS ANGELES, 17 Dis – Jamal Murray mencatatkan 15 daripada 19 mata pada suku terakhir perlawanan ketika Denver Nuggets bangkit untuk menewaskan Toronto Raptors 95-86 semalam dalam perlawanan antara pendahulu pasukan liga East dan West.

Nikola Jokic menghasilkan 26 mata bagi pasukan Nuggets, yang melakarkan kemenangan ke-10 dalam 12 perlawanan dan mengekalkan pendahuluan tipis ke atas Golden State dalam persaingan Western Conference.

“Saya rasa buat masa sekarang kami merupakan pasukan terbaik,” kata jurulatih Nuggets, Michael Malone. “Baki perlawanan masih banyak. Saya rasa satu perkara yang kami lakukan dengan baik adalah meningkatkan keterujaan kami.”

Denver memperbaiki kedudukan kepada 20-9 musim ini dengan mencatatkan 23-2 perlawanan selepas ketinggalan 70-75 pada suku ketiga.

Kedudukan ini menandakan Nuggets berada di tempat pertama dalam persaingan West sejak Disember 1984.

Nikola Jokic (tengah) diasak oleh tiga pemain Raptors ketika cuba memasukkan bola ke dalam jaring pada separuh masa kedua perlawanan NBA semalam. – AP

Kawhi Leonard mencatatkan 29 mata dan 14 rebound bagi pasukan pendahulu Eastern Conference, Raptors.

Toronto memenangi dua daripada empat perlawanan dalam kunjungan mereka baru–baru ini dan masih memiliki rekod terbaik NBA 23-9.

Pasukan Nuggets beraksi tanpa kelibat pemain seperti Will Barton, Gary Harris dan Paul Millsap kerana mengalami kecederaan.

Pasukan Raptors juga kehilangan beberapa pemain termasuk Kyle Lowry dan Jonas Valanciunas .

Dalam perlawanan lain, Ben Simmons menghasilkan triple-double ketiganya musim ini dan Jimmy Butler kembali daripada kecederaan untuk mencatatkan 19 mata ketika pasukan Philadelphia 76ers menewaskan Cleveland Cavaliers 128-105.

Simmons menamatkan perlawanan dengan meraih 22 mata, 14 assist dan 11 rebound dan Joel Embiid mencatatkan 24 ketika Sixers bangkit daripada defisit suku kedua untuk mendahului 65-58 pada suku pertama.

“Ben melakukan apa yang selalu dilakukannya untuk kami iaitu membuat hantaran,” kata Butler. “Apabila dia beraksi seperti itu, semua pemain melalui perlawanan yang mudah.” – AFP