TOKYO, 1 Jan – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un hari ini berkata AS seharusnya menyedari bahawa kekuatan nuklearnya kini menjadi realiti, bukan ancaman.
Tetapi Kim juga menyuarakan nada untuk berdamai dalam ucapan Tahun barunya, dengan mengharapkan kejayaan Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan bermula di Korea Selatan pada Februari nanti dan menyarankan Utara boleh menghantar delegasinya untuk mengambil bahagian.
Kim, yang mengenakan sut warna kelabu dan tali leher gaya Barat, berkata dalam ucapan tahunan yang menjadi kelaziman, negaranya akan mencapai
kejayaan bersejarah bagi “melengkapkan” kekuatan nuklearnya dan menambahkan dia mempunyai kuasa ke atas nuklear itu.
“AS seharusnya menyedari bahawa ‘butang’ terhadap senjata nuklear ada padanya,” menurutnya dalam ucapan, seperti yang diterjemahkan oleh AP secara sementara. Transkrip rasmi ucapan beliau dijangka akan dikeluarkan tidak lama lagi.
“Keseluruhan kawasan tanah besar AS berada dalam jarak serangan nuklear kami. AS tidak boleh memulakan peperangan ke atas saya dan negara kami.”
Kim juga menggesa bagi hubungan yang lebih baik dengan Korea Selatan, idea yang kerap disebutkan dalam ucapan lebih kerap daripada dipenuhi.
Beliau berkata Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang akan menjadi peluang terbaik untuk memperlihatkan status negara Korea. Beliau berkata Korea Utara dan Korea Selatan boleh mengadakan pertemuan segera untuk membincangkan hasrat Korea Utara menghantar delegasi.
“Sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan diadakan tidak lama lagi di Korea Selatan akan menjadi peluang yang terbaik untuk memperlihatkan status negara Korea dan kami dengan ikhlas berharap acara ini akan diadakan dengan baik,” katanya lagi.
Ucapan tahun ini dilihat sebagai sangat penting kerana ketegangan yang tinggi terhadap pelancaran peluru berpandu yang sering dilakukan oleh Pyongyang dan ujian nuklearnya pada 2017.
Ujian ini merupakan tumpuan pertukaran lisan yang berapi-api di antara Utara dan AS. – AP