Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Nunez akhirnya tunjuk taring

    LEIPZIG, JERMAN, 22 JULAI – Jurgen Klopp kelmarin berkata bahawa senjata utama mereka sudah mula menunjukkan taring apabila pemain baharu Liverpool, Darwin Nunez meledak empat gol selepas membelasah RB Leipzig 5-0.

    The Reds membawa penyerang Nunez ke Anfield dari Benfica pada bulan lalu dengan bayaran perpindahan yang boleh mencatatkan rekod bayaran tertinggi bagi kelab tersebut iaitu pada nilai AS$105 juta.

    Pemain Uruguay yang menjaringkan sebanyak 34 gol pada musim lalu itu, telah dikritik oleh beberapa penyokong selepas gagal menjaringkan gol dalam perlawanan pramusim pertama Liverpool menentang Manchester United dan Crystal Palace.

    Nunez diturunkan pada separuh masa pertama dengan Liverpool mendahului 1-0 hasil jaringan Mohamed Salah. Salah menjaringkan satu lagi gol penalti sebelum tiga gol Nunez menggegarkan stadium.

    Liverpool, yang memenangi kejuaraan Piala FA dan Piala Liga pada musim lalu tetapi menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Perdana dan Liga Juara-Juara, akan berdepan Manchester City dalam acara pembukaan Perisai Komuniti pada hujung minggu hadapan.

    Reaksi Darwin Nunez selepas menjaringkan gol kelima pasukannya semasa perlawanan bola sepak persahabatan di Leipzig kelmarin. – AFP

    Nunez yang berusia 23 tahun itu dijangka untuk menjadi pemain penting dalam skuad Klopp selepas pemergian Sadio Mane ke Bayern Munich.

    “Saya rasa semua orang sangat gembira untuknya dan sedang mencarinya (di bilik persalinan),” kata bek tengah The Reds, Joel Matip.

    “Penyudah yang hebat, kepantasan yang mantap dan kekuatan yang luar biasa.

    “Saya merasakan semua kebolehan itu akan menyukarkan lagi lawan kami,” tambahnya.

    Liverpool seterusnya akan memulakan kempen Liga Perdana mereka di Fulham pada 6 Ogos nanti. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...