LIVERPOOL, 16 OGOS – Liverpool terpaksa bangkit ketika beraksi dengan 10 pemain untuk mengelak kekalahan pertama di depan penyokong sendiri di Anfield sejak 2017 apabila Darwin Nunez dibuang padang ketika seri 1-1 dengan Crystal Palace, semalam.
Gol sensasi Luis Diaz menyelamatkan satu mata buat pasukan Reds selepas Wilfried Zaha membuka jaringan untuk Palace pada separuh masa pertama.
Selepas dua perlawanan musim ini, Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan pemain baharu yang dibeli dengan harga 75 juta euro itu patut dipersalahkan.
Nunez meledak dalam dua penampilan pertama menentang City dalam Perisai Komuniti dan menyelamatkan satu mata ketika masuk sebagai pemain gantian apabila seri 2-2 di tempat lawan berdepan Fulham, hujung minggu lalu.
Namun pemain Uruguay itu menanduk Joachim Andersen sebelum sejam perlawanan menyebabkan dia berdepan cabaran besar dalam perlawanan.
Dia mungkin tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan akan datang menentang Manchester United, Bournemouth dan Newcastle.
“Sekarang dia sendiri sudah tahu,” kata Jurgen Klopp apabila ditanya sama ada tindakan Nunez itu menyebabkan rakan sepasukannya kecewa.
“Sudah tentu ia kad merah. Dia diprovokasi, tetapi itu bukan cara dia sepatutnya membalas.”
Liverpool memperoleh gol penyamaan menerusi Diaz dan Klopp berkata, dia bangga apabila 10 pemainnya bangkit selepas minggu yang sukar disebabkan krisis kecederaan awal musim.
Roberto Firmino, Thiago Alcantara, Diogo Jota, Joel Matip dan Ibrahima Konate semuanya diketepikan manakala Joe Gomez hanya cukup cergas untuk masuk dari bangku simpanan.
Nat Phillips terpaksa membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak hari terakhir musim 2020/21 di bahagian pertahanan tengah manakala Klopp tiada pilihan untuk memulihkan serangan pada penghujung aksi.
“Perasaan sebenar saya ketika ini adalah bangga,” kata Klopp.
“Dengan persiapan minggu ini, ia sesuatu yang menakjubkan.
“Ia seperti ada ahli sihir dalam rumah, setiap kali ada seseorang menghadapi masalah.”
Sebelum ini, Klopp kecewa dengan permulaan perlahan pasukannya menyebabkan mereka kehilangan dua mata pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang pasukan baru dipromosi, Fulham.
Kali ini, Liverpool lebih mengancam, tetapi gagal mengubah dominasi perlawanan kepada jaringan gol.
James Milner, Nunez dan Mohamed Salah harus dipersalahkan kerana gagal menyempurnakan peluang keemasan, manakala percubaan Harvey Elliott dihalang Andersen. – AFP